Menanti kelahiran anak sulung adalah sesuatu yang sangat mengujakan. Maklumlah pengalaman pertama jadi tentulah kita ternanti-nanti dan tertanya-tanya bagaimana proses mengandung dan bersalin tu.
Saya disahkan mengandung selepas 3 bulan diijabkabulkan. Fasa kehamilan yang saya alami agak teruk kerana mengalami mabuk teruk sehingga bulan ke 3 kehamilan. Masa tu nak makan apa pun tak boleh. Badan jadi letih dan lesu. Sampai satu tahap badan saya tak dapat terima langsung sebarang makanan dan minuman. Bayangkan dari pagi sampai ke malam saya muntah teruk, sedangkan saya rasa dahaga dan lapar tetapi apabila minum pasti air akan dimuntahkan balik.
Dalam tempoh ni memang terasa sangat menderita sampai saya nekad taknak mengandung dah lepas ni. Nekad tu. Nak tidur tak dapat, nak baring, nak duduk, berjalan semua tak kena. Saya asyik menangis sepanjang masa dan menangis lagi dan lagi. Malamnya badan saya semakin lemah sebab tak ada apa-apa makanan dan minuman boleh masuk. Sampailah saya muntah sampai berdarah, terus suami bawa saya ke hospital terdekat masuk ke bahagian kecemasan.
Masa tu doktor bagi minum secawan air putih pekat untuk gastrik, dan cucuk ubat tahan muntah. Lepas buat ujian air kencing, saya kena tahan di wad sebab kekurangan air dalam badan. Ajaibnya lepas kena cucuk ubat tahan muntah tu saya semakin baik dan tak muntah. Suami saya balik untuk mengambil barang-barang yang diperlukan dan saya minta dia belikan sebotol air mineral untuk saya. Sebotol besar, sebab sangat dahaga. Semasa masuk ke wad, semua orang sedang nyenyak tidur, lampu semua pun dah padam. Suami tinggalkan saya dengan berat hati. Ye lah kat situ tak dapatlah dia temankan sebab wad biasa. Kasihan suamiku terpaksa tidur seorang diri malam tu.
Selepas suami pulang saya terus minum air sebotol besar tu hampir habis. Tak tahulah nak cakap macamana nikmatnya, macam tak pernah minum air. ALHAMDULILLAH !! Dan malam itulah malam yang paling best saya dapat tidur lena.
Rupa-rupanya ada yang lagi teruk alahan mengandung daripada saya. Dalam wad tu ada seorang ibu ni, sepanjang malam dia muntah. Walaupun sekejap-sekejap tidur saya terganggu, tetapi tak menjadi masalah saya teruskan sahaja tidur dengan lena. Waktu siang pun dia tak henti muntah. Makan sikit muntah. Kata nurse, itu kehamilan ke 4 dan memang ibu tu akan alami alahan sampai bersalin. Masyaallah saya yang sebelum ni rasa sangat menderita terus insaf sebab rupanya ada yang lagi teruk alahannya. Malah saya pun tak muntah sepanjang di dalam wad kerana disuntik ubat tahan muntah.
Inilah pengalaman kali pertama dalam hidup saya masuk wad. Macam-macam ragam dan kisah dapat tengok. Ada orang yang dah biasa keluar masuk wad. Ada yang anaknya menjaga rapi, bawa makanan macam berkelah, siap tukar bunga segar di pasu setiap pagi, dikunjungi orang sepanjang masa. Ada pula yang tiada anak datang melawat, tak mandi sepanjang hari sebab tiada yang menjaga, tak larat nak berjalan sendiri, dan hanya melihat orang lain dilayan dengan baik oleh anak mereka. Nampak riak sedih kat wajah makcik ni. Saya nak tolong mandikan pun tak dapat. Saya pun sedih juga sebab duduk jauh dari keluarga, hanya kawan yang datang melawat. Suami pula datang di waktu rehat kerjanya. Tak apalah yang penting semua baik-baik sahaja.
3 hari 2 malam di hospital, tak muntah, makan dengan elok, dan dah 9 botol air masuk. Baru nurse nak masukkan botol ke -10, doktor sahkan saya dah boleh keluar. Alhamdulillah lega ! Ceritanya pagi tu ada kumpulan nurse pelatih bertugas masukkan ubat kat saluran yang diorang cucuk jarum kat tangan tu. Biasanya nurse yang bertugas buat tapi hari ni mereka nak melatih nurse baru agaknya. Gerun saya tengok nurse pelatih ni terkial-kial mencucuk jarum di tangan makcik katil sebelah saya. Berkali-kali, sampai darah menitik-nitik. Makcik tu dah mengaduh-ngaduh. Saya dah pucat tengok. Sikit lagi dia nak datang cucuk saya pula, terus saya bagitau doktor kata saya boleh keluar harini. Walaupun tak confirm lagi tapi saya bagitau jugak sebab takut. Lepas mereka check dengan doktor, doktor datang balik kat saya check sekian-sekian, kemudian saya pun disahkan boleh keluar. Jadi terselamatlah saya daripada nurse pelatih tu!
Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Buka sahaja pintu rumah saya kembali dengan rutin harian, uwekkkk. Bertahan sahajalah sebab tak nak dah masuk wad. Selepas 3 bulan saya rasa teringin nak makan nasi dengan lauk pajeri nenas. Itulah nasi dan lauk pertama saya makan, habis sebungkus. Nasi, pajeri nenas dan ikan goreng. Itulah permulaan saya keluar dari fasa alahan mengandung ni. Memang perit dan menderita bagi yang mengalami sahaja yang tahu. Alhamdulillah walaupun teruk alahan dulu tetapi perkembangan bayi dalam kandungan tiada masalah.
Dan akhirnya saya dapat bersalin dengan baik dan mendapat seorang anak lelaki yang comel & berbulu lebat satu badan!
No comments:
Post a Comment