Pages

Thursday, 22 May 2014

Pengalaman bersalin anak pertama

Pengalaman bersalin anak pertama, memori terindah sepanjang hayat.

Hospital yang sesuai dah dicari, kelengkapan untuk bersalin pun sudah siap, hanya menunggu hari sahaja untuk bersalin. Saya dijangka bersalin pada 12Julai2010. Pada 9julai, keluarga dari kampung datang. Kami buat keputusan untuk bersalin dan berpantang di sini sahaja dan tidak balik ke kampung atas sebab-sebab untuk mempermudahkan urusan kedua-dua pihak.

Pada 10julai, saya mengajak suami ke Zoo Taiping membawa keluarga bersiar-siar, dan untuk memudahkan saya bersalin juga kerana banyak berjalan boleh membantu proses untuk bersalin. Habis satu zoo kami berjalan kaki sahaja, ajaibnya saya tak rasa penat pun tetapi seronok pula. Tetapi kasihan pula emak dan ayah saya yang sekejap-sekejap berhenti rehat kerana penat berjalan. Maklumlah zoo taiping ni bukannya kecil, tetapi nasib baik ada banyak pondok untuk berehat. Suami saya pun penat juga berjalan katanya.

Esoknya 11Julai, jam 7 pagi, perut saya terasa sakit. Tak tahu nak gambarkan sakit macam mana. Saya fikir nak buang air sahaja, jadi saya masuk ke tandas dan buang air besar. Agak lama juga saya di tandas sebab saya fikir selagi tak habis buang ni perut akan sakit. Bila dah habis semuanya saya masih rasa sakit perut. Emak saya bagitau, dah dekat dah tu nak bersalin. Memandangkan saya pun tak pasti jadi saya teruskan kerja rumah seperti biasa, basuh kain, angkat kain, jemur kain, dan sempat pula lipat kain yang diangkat. Masa tu sakit perut datang sekejap-sekejap dalam anggaran 15-10 minit. Jadi jika sakit saya akan baring, dan selepas sakit hilang saya sambung mengemas kain.

Kemudian sakit datang semakin kerap. Dan semakin kuat. Saya fikir mungkin inilah contraction namanya. Saya tengok jam sela masa sakit tu adalah setiap 10 minit. Apalagi saya terus panggil suami untuk cepat-cepat ke hospital. Waktu itu saya memang dah tak berselera nak makan. Emak saya paksa makan juga, jadi sempatlah makan sekeping pisang goreng sebelum bertolak. Saya, suami, emak dan ayah bersiap untuk ke hospital bersalin pulau pinang.

Dalam kereta sakit semakin kuat dan tetap setiap 5 minit. Tak tahu nak digambarkan memang sakit rupanya contraction ni. Suami dah kelam kabut bawa kereta, tak sedar rupanya kami kena saman dalam perjalanan sebab laju sangat! Sampai di hospital doktor check bukaan dalam 3-4cm, buat prosedur seperti cucuk jarum kat tangan dan lain-lain. Bila minta nak buang air kecil nurse siap pesan jangan teran takut terkeluar anak. Kemudian saya terus dimasukkan ke labour room. Kena tukar baju kat situ, pakai baju hospital, dan berbaring atas katil seorang diri sementara suami uruskan hal di luar. Emak dan ayah menanti di surau sambil solat hajat dan baca quran. Suami saya sejak awal masuk kat kaunter, kemudian kepada nurse yang uruskan kemasukan saya, semua dia minta supaya yang uruskan saya doktor atau nurse perempuan. Alhamdulillah mungkin sebab suami minta dengan elok dan baik jadi mereka tiada masalah untuk membantu.

Menanti bukaan 10cm, adalah tempoh masa yang sangat memeritkan. Jam 12 tengahari saya masuk, pada awalnya saya seorang sahaja. Masa tu nurse uruskan katil, pasang itu ini, kemudian ada lah seorang nurse lelaki ni masuk. Cepat-cepat nurse perempuan tu tutup kangkang saya dengan kain taknak bagi dia tengok. Maksudnya apa tu, maksudnya yang lelaki tu saja masuk tanpa keperluan pun nak tengok-tengok. Sabar ajelah. Kemudian baru suami dibenarkan masuk. Bila suami ada di sisi barulah rasa sedikit tenang. Suami banyak membaca quran, istigfar dan memberi kata semangat. Tapi tak tahulah di tengah-tengah sakit contraction tu bila suami asyik ulang sabar...sabar... saya jadi rimas dan buat isyarat tangan di mulut suruh dia diam. Huh tak baik sungguh. Kecik juga hati dia katanya. Nasib baik suami faham saya tengah emosi tak stabil. Saya rasa nak menjerit kuat-kuat setiap kali kontraksi, tetapi malulah nak jerit-jerit macam tak betul pula. Saya cuma tarik besi katil kuat-kuat, dan nangis, dan nangis. Bila nurse datang saya merayu rayu minta cepat sambil ulang sakit...sakit.. . Memang sangat sakit bukan main-main. Last sekali nurse tu cucuk ubat tahan sakit apa nama tak pasti lah. Yang pastinya lepas tu saya terus rasa mengantuk. Tapi tetap sakit bila kontraksi.

Masa tengah sakit tu, perasan ada lagi seorang lelaki nak masuk. Tak pastilah doktor ke, pembantu perubatan ke, nurse ke. Tapi suami cepat-cepat ke pintu bagitau dia elok-elok nak staff perempuan je kat sini. Jadi dia pun terus beredar. Jam 5.30 petang bukaan dah makin besar, dan rasa nak meneran tu tak dapat ditahan dah. Sebelum tu setiap kali kontraksi memang sakit buat kita rasa nak teran tapi dah kena pesan awal-awal jangan teran lagi nanti koyak. Tapi kali ni memang tak tahan dah. Air kencing pun diorang dah sedut keluar awal-awal lagi untuk mudahkan bersalin. Nurse menjerit-jerit panggil doktor dan staff nurse lain masuk. Kali ni saya disuruh teran sebab katanya dah nampak kepala baby. Bayangkanlah saya tengah penat, lapar, dahaga, mengantuk nak kena teran. Berapa kali teran masuk balik. Tengah-tengah teran tu saya minta air sebab dahaga sangat. Dari pagi ke petang tak makan tak minum. Diorang cepat-cepat ambil air untuk saya minum. Tetapi menyesal la pulak minum air sebab bila teran air yang diminum tu macam naik balik nak tercekik rasa.

Nurse semua dah risau sebab tak keluar-keluar lagi, ramai pulak tu yang datang tengok nasib baik semua perempuan. Badan saya makin lemah, kemudian saya nekad nak teran sungguh-sungguh habiskan sisa tenaga yang ada, rasa macam nak pitam dah ni, macam nak habis nyawa dah. Yang terakhir sekali tu saya teran sekuat hati bila datang kontraksi, dan sejurus kepala baby keluar, badannya pun meluncur sekali ikut keluar. Alhamdulillah tak tergambar leganya perasaan mendengar tangisan anak saya. Dalam keadaan tu pun saya masih mengantuk lagi. Anak kami disahkan lelaki, dan kemudian doktor teruskan dengan keluarkan uri dan jahit luka episotomi. Masa tu saya dah tertidur balik kesan ubat tu, tak kisah dah apa yang berlaku. Sedar-sedar doktor nak habis jahit dah, baby dah ada di tepi katil berbalut macam takut-takut senyap je dia. Nurse ambil untuk saya bagi susu.

Dapatlah dia minum susu kolustrum yang keluar masa tu. Bila letak kat dada je terus dia hisap sungguh-sungguh. Comel sangatttt (masa tulis ni saya nampak balik saat indah tu dan rasa nak baby sorang lagi la pulak, alamak!). Kemudian lepas siap semuanya, nurse bawa dengan wheelchair, naik lif, ke bilik ada dalam 8 orang kot. Bilik individu penuh jadi duduk di situ sahaja. Selepas suami dan keluarga dah pulang, saya terus sambung tidur. Tak fikir nak makan nak minum semua dah, lagipun dengar macam nurse bagitau waktu makan malam dah lepas. Saya pun penat sangat tak fikir dah terus tidur. Nasiblah anak saya ammar ni rupanya sangatlah baik dan memahami. Langsung dia tak menangis sepanjang malam. Jika nak susu dia cuma menganga mulut macam anak burung, pusing kiri kanan cari susu kemudian saya terus bagi dia hisap sampai dia tidur. Dekat tengah malam baru saya terjaga balik sebab badan rasa tak selesa peluh semua tak mandi lagi. Terus saya pergi mandi air sejuk malam tu, teruk sungguh kan nasib baik takde masuk angin ke, sakit urat ke, bentan ke. Maklumlah pengalaman pertama serba tak tahu walaupun pernah baca tapi bukan semua kita terus ingat. Lepas mandi sempat makan satu bar coklat yang saya bawa bekal. Itu ajelah alas perut lepas bersalin kemudian terus sambung tidur dengan selesa di samping Ammar yang juga nyenyak sampai ke pagi esoknya.

Esoknya akak katil sebelah saya terkejut tengok ada bayi kat sebelah, katanya tak menangis pun ingatkan saya tengah tunggu giliran nak bersalin. Maklumlah saya tidur tutup langsir keliling. Baik sungguh Ammar senyap je. Sedangkan ada bayi di katil hadapan saya menangis tak henti sepanjang malam samapaikan saya tengok mak dia pun tertekan sangat walaupun dah diberi susu, dibantu nurse, tetapi tak henti menangis. Rezeki saya Ammar tidur nyenyak malam tadi. Kemudian pagi-pagi nurse mandikan Ammar, selepas makan pagi doktor buat pemeriksaan. Ammar belum kencing lagi jadi kami tak boleh keluar lagi. Masa tu saya seakan tak percaya dah jadi ibu, sepanjang masa tenung wajah Ammar dengan penuh teruja tak sangka dah beranak. Suami kat rumah tak payah ceritalah tak sabar-sabar nak jumpa Ammar. Sekejap je semalam dia sempat pegang kemudian terpaksa balik. Tidur malam termimpi-mimpi. Pagi lagi suami dah sampai dengan mak ayah tengok Ammar yang comel.

Malam tu suami usahakan untuk dapat bilik individu. Nasib baik ada yang keluar jadi dapatlah bilik tu. Awalnya rancang emak yang akan temankan saya sebab Ammar tak kencing lagi tak boleh balik. Kemudian tukar rancangan suami duduk kat bilik tu dengan saya dan petang tu suami balik hantar mak dan ayah kemudian datang balik. Agak jauh perjalanan tapi tak terasa jaraknya sebab seronok nak tengok anak. Sepatutnya suami tak boleh temankan tetapi atas budi baik guard dan nurse kat situ, suami dibenarkan bermalam di situ. Bilik kat situ besar dan selesa. Ada katil, bilik air lengkap dengan pemanas air, sofa dan meja. Malam tu pakar kanak-kanak dipanggil sebab Ammar masih tak kencing. Diorang ambil Ammar bawa ke bahagian wad kanak-kanak. Suamilah yang ikut pergi sana-sini, saya tunggu di katil sahaja. Kata suami, macam-macam cara mereka buat, tapi Ammar tetap tak kencing. Akhir sekali masa nurse pakaikan balik lampin Ammar, Ammar terus pancut kencing kena betul betul kat nurse tu. Menjerit-jerit diorang terkejut, haha nakal juga anak ummi ni ye.

Ammar kena tahan kat wad tu sebab ada simptom kuning pula, jadi dia kena letak di bawah lampu sepanjang malam. Suami bawa saya untuk bagi susu kat Ammar dan kemudian terpaksa tinggalkan dia di bawah lampu. Sedih sangat tau tengok dia nangis-nangis pakai lampin je duk dalam tu sambil mata ditutup. Tentu dia sejuk sangat tapi saya pun tak dapat lama di situ sebab masih sakit dan perlu baring. Esoknya pagi-pagi datang tengok Ammar dan saya duduk di situ menanti keputusan doktor. Kasihan sangat melihat ramai bayi yang menangis dalam tu mak ayah tak ada pun. Nurse pun tak larat nak dukung sorang-sorang jadi dibiarkan sahaja. Semua duk menangis. Sedih sangat saya rasa sampai menitis air mata, sambil susukan Ammar kat situ. Kemudian doktor bagitau kuning Ammar dah turun jadi terus boleh keluar hari tu. Syukur Alhamdulillah. Sebelum keluar doktor periksa jahitan dahulu, seperti biasa suami minta awal-awal supaya doktor perempuan yang periksa. Datanglah doktor perempuan dan dia periksa sambil puji cantiknya siapa yang jahit ni. Saya pun tak tahulah maksud jahitan yang cantik pada mereka sebab saya gerun nak tengok. Yang pastinya jahitan biasalah kan takdelah jahitan mata lalat, mata belalang macam jahit baju kurung tu.

Begitulah serba ringkas kisah yang masih segar sampai ke hari ni, pengalaman bersalin anak sulung. Yang pastinya saya sangat bersyukur kerana dikurniakan suami yang sangat memahami, sangat membantu, dan sangat menjaga maruah isterinya. Sungguh terasa sangat dihargai dan disayangi dengan sepenuh hati. Masyaallah, rahmatilah pernikahan dan rumahtangga kami ya Allah hingga ke syurga. Semoga anak ummi menjadi anak yang soleh semuanya amin.

Yang saya perasan jika kita minta elok-elok cara yang baik muka manis, nak doktor perempuan, nak itu ini, mudah sahaja nurse dan doktor tu nak bagi. Malah tak ada pun yang berkasar semua baik-baik sahaja. Malah akak kat katil sebelah saya yang malam pertama tu, siap dibantu nurse untuk perah susu dada secara manual. Sebab nak bagi kat anak dia yang ditahan kat wad sebab kuning. Yang pastinya hospital bersalin pulau pinang memang bagus, perkhidmatan yang terbaik, cekap dan sangat mesra bayi. Diorang ada bekalkan bekas plastik jika ibu nak perah susu, dan ibu boleh simpan susu yang diperah di peti sejuk khas. Cumanya tempat tinggal kami dengan hospital ni agak jauh jadi untuk anak kedua kami memilih untuk bersalin di hospital swasta yang berdekatan pula.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ^__^

No comments:

Post a Comment