Bila tengok anak-anak seawal 5 tahun pandai membaca, itu satu perkembangan yang sangat bagus dan hebat. Tapi bila anak dah pandai membaca, kenalah pilih bahan bacaan yang sesuai untuk dia. Ada banyak pilihan buku kanak-kanak di pasaran.
Satu kelebihan yang besar sebenarnya bila anak dah pandai membaca di awal usia ini kerana kita boleh mula membentuk personaliti dan arah tuju hidup anak. Pilihlah bahan bacaan yang berkualiti yang meningkatkan ilmu, mengenalkan dia kepada Allah, dan dalam masa yang sama ibu bapa berterusan menambah ilmu baru dari pembacaan agar dapat berkongsi dengan anak. Jangan biarkan anak asyik membaca komik yang berbentuk hiburan sahaja. Kena ingat, apa yang dibaca, itulah yang akan berada di mindanya dan membentuk peribadi dan pemikiran anak.
Kalau tak jumpa buku yang sesuai untuk anak, ibubapa boleh buat sendiri buku cerita. Tulis cerita yang kita nak dan kemudian print dan stapler menjadi buku. Mudah kan. Saya pernah jumpa beberapa ibu yang rajin membuat buku cerita sendiri untuk anak mereka, memang memberi inspirasi.
Jika anak tak dididik membaca dari kecil, agak sukar untuk ajar dia membaca apabila sudah pandai bermain game, bermain ipad, menonton youtube, dan mencari siaran tv sendiri. Waktu ini buku bukan lagi benda yang menarik untuk dipegang. Nak tak nak kena usahakan agar anak minat membaca dari kecil. Caranya seperti sediakan perpustakaan mini khas untuk anak, ajak anak pilih buku yang menarik di kedai buku dan membuat buku bersama-sama. Malah ibubapa kena juga luangkan masa untuk membaca sekejap.
Semasa saya mengajar di pusat membaca kanak-kanak dahulu, ada pelajar darjah 3 yang membawa kertas rekod penilaian NILAM untuk diisi. NILAM ni suatu program yang dibuat di sekolah oleh kementerian untuk mendidik pelajar suka membaca dan setiap bacaan mereka mesti direkodkan, kemudian mereka akan mendapat penghargaan hasil rekod bacaan yang banyak itu. Tetapi saya agak ragu-ragu dengan hasil program itu kepada pelajar, sebabnya saya melihat sendiri bagaimana dia memenuhkan rekod NILAM tersebut dengan hanya meniru sinopsis atau beberapa perenggan dalam buku-buku cerita yang ada. Asal penuh sahaja kertas tu dia tiru dan tulis tanpa membaca dengan teliti apa yang ditulisnya. Nampaknya yang mereka nampak adalah kepentingan memenuhkan rekod untuk dapat hadiah, bukannya kepentingan membaca.
Nampaknya selepas ini kenalah ibubapa fikirkan cara yang terbaik untuk didik anak membaca dan membina generasi yang suka membaca insyaallah.
No comments:
Post a Comment