Monday, 11 November 2013

Sayangnya dulu saya tak tahu

Ini kisah pengalaman saya bujang-bujang dahulu..

Tahun 2007 lepas grad, saya berkelana ke Perak mencari pengalaman bersama sahabat yang membuat bisnes tanaman cendawan. Tetapi misi saya bukan untuk menanam cendawan, sebaliknya mengisi waktu terluang dengan pengalaman baru sebelum mendapat pekerjaan yang sesuai. Berada di sebuah kampung, saya bersama seorang lagi sahabat berjalan dari rumah ke rumah untuk bersilaturahim serta menawarkan kelas mengaji al quran serta tuisyen di rumah sewa kami. Menariknya orang kampung sangat mengalu-alukan kami dan berminat untuk menghantar anak mereka. Kami yang pertama membuka kelas mengaji al quran, serta tuisyen mengajar pelajar upsr dan pmr di situ. 

Selang beberapa minggu , kami didatangi seorang ibu yang meminta saya buat tuisyen khas utk 3 anaknya darjah 5, 4 & 2 kalau tak silap saya. Tetapi ibunya tidak mahu dicampur dengan pelajar lain dan mereka sanggup membayar yuran lebih untuk anak mereka. Bermulalah kisahnya, setelah hampir sebulan belajar, mereka masih tak tahu membaca sedangkan ibu bapa mereka mengusahakn perniagaan yang berjaya di situ. Saya mengajar mereka menggunakan buku yang mereka bawa. 

Waktu itu saya mengajar seperti biasa mengeja. Sebab itulah kaedah yang digunakan dari dulu hingga sekarang. Bermacam cara saya ajar tapi hari ni ingat esok dah lupa. Saya pun jadi stress. Jauh benar nak tengok kemajuan mereka. Berbulan-bulan saya ajar dan berusaha tapi tak berhasil. Tambahan pula mereka pun datang belajar waktu petang, waktu untuk bermain jadi sukar untuk menumpukan perhatian. Pengalaman ini juga baru bagi saya yang selama ini tidak pernah mengajar kanak-kanak membaca.

Malang sekali tidak lama selepas itu saya terpaksa berpindah ke tempat lain. Maka tidak dapatlah saya melihat mereka pandai membaca.

Kemudian awal tahun 2012 saya bertemu dengan kawan yang dikenali di facebook, iaitu Puan Rohayati. Kebetulannya beliau satu batch dengan suami saya di universiti dulu. Beliau mengusahakan pusat membaca khas untuk pelajar usia seawal usia 4 tahun di Nibong Tebal, Penang. Ramai yang datang belajar membaca, dari usia 4 tahun hingga ke darjah 6 yg buta huruf. Menakjubkan budak usia seawal 3 tahun majoriti paling cepat dapat membaca berbanding usia yg lebih tua. 


Ini sesuatu yang amat menarik bagi saya yang baru mengenali bidang pendidikan awal aknak-kanak, merangsang bayi serta potensi bayi. Jika didedahkan membaca dari usia awal, mereka sangat mudah untuk mengikut dan membaca. Dan untuk usia lain mereka semua dapat membaca dengan baik setelah sebulan dua diajar. Saya sangat teruja mendengarnya. Alhamdulillah kini saya turut mengajar di pusat membaca itu.

Kalaulah dulu saya tahu kaedah ini, tentu saya dapat mengajar mereka membaca dengan baik. Saya doakan mereka sekarang dah pandai membaca dan berjaya dalam pelajaran dan dalam hidup mereka.

Malah saya sendiri dah ajar anak saya usia 3 tahun , dia dah boleh baca sampai mukasurat 20 ! Insyaallah saya akan kongsikan lebih lanjut tentang teknik membaca ini di entry seterusnya. 


UPDATE : Saya dah kongsikan sambungannya di sini 

Tuesday, 5 November 2013

Ibu moody, kesan kepada anak

Percaya atau tidak, mood seorang ibu sangat memberi pengaruh kepada sesebuah keluarga. Seorang ibu yang periang akan memberi pengaruh emosi yang baik kepada anak-anak. Jadi anak akan kurang meragam dan senang dipujuk. Malah suami pun akan seronok berada di rumah dan bermesra dengan keluarga. Tetapi bila seorang ibu sedang mengamuk dan mood sedang tertekan, bermasam muka, maka pengaruh emosi negatif ini akan segera meresapi keluarga. Anak dan suamilah yang akan menerima kesannya.

Wah, bukan senang menjadi seorang isteri merangkap seorang ibu ni. Semasa mengikuti kursus pra perkahwinan dulu, kita turut diajar tentang stress dan cara menangani stress dalam rumahtangga. Sebelum kahwin belajar teori sahaja dan tidaklah mengambil berat sangat kerana semasa kursus tu hanya terbayang alam perkahwinan yang indah belaka. Namun realiti tidaklah seindah yang dimimpi, dan ujian lebih besar lagi menanti jika tidak berjaya mengurus emosi dengan baik.

Orang perempuan cepat terbawa dengan emosi. Tambahan lagi setelah mengandung dan mempunyai anak kecil, emosi seorang ibu sering berubah-ubah. Saya sendiri sebagai ibu muda yang tiada pengalaman, pada awalnya agak tertekan menguruskan anak kecil sendirian. Ini kerana ibu saya di kampung tidak dapat menemani proses saya berpantang atas masalah kesihatan. Jadi semuanya dibuat sendiri dibantu suami, dengan berpandukan nasihat tukang urut serta rujukan di website tentang setiap permasalahan. Agak mencabar tetapi alhamdulillah dipermudahkan urusan kami dalam menjaga anak kecil.

Sepanjang proses membesarkan anak juga banyak cabaran menghadapi kerenah anak yang sedang membesar. Jika tertekan saya akan menelefon dan mengadu kepada ibu di kampung untuk meluahkan perasaan. Seringkali nasihat yang diberikan adalah supaya banyakkan membaca al quran. Kata ibu, rasa tertekan dan marah itu datangnya daripada syaitan yang ingin mengangggu hidup kita, jadi banyakkan membaca al quran insyaallah hati akan menjadi tenang. Alhamdulillah ada ibu bolehlah meluah perasaan, siapa lagi yang faham perasaan seorang ibu melainkan ibu juga kan :)

Baiklah kembali kepada tajuk asal, anak-anak akan mendapat kesan yang negatif jika ibu moody dan marah. Walaupun marahkan ayahnya, tetapi dilepaskan geram kepada anak. Malah jika marah kepada orang lain pun anak-anak menerima tempiasnya. Jadi sangat penting seorang ibu belajar mengurus emosi terutama ketika marah. Perasaan marah ni bila dilayan, otak kita tidak dapat berfungsi dengan baik sehingga mendatangkan perlakuan yang boleh mendatangkan penyesalan di kemudian hari. Banyak kerosakan yang akan berlaku apabila dikuasai amarah. 


Tips apabila tiba-tiba rasa marah samada marah kepada anak, suami, keluarga, atau sesiapa sahaja

1. Pertama, segera memohon perlindungan kepada Allah dari godaan setan, dengan membaca ta’awudz:
أعوذُ بالله مِنَ الشَّيْطانِ الرَّجيمِ
A-‘UDZU BILLAHI MINAS SYAITHANIR RAJIIM
Karena sumber marah adalah syaitan, sehingga godaannya bisa diredam dengan memohon perlindungan kepada Allah.

Dari sahabat Sulaiman bin Surd radhiyallahu ‘anhu, beliau menceritakan,
Suatu hari saya duduk bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Ketika itu ada dua orang yang saling memaki. Salah satunya telah merah wajahnya dan urat lehernya memuncak. 

Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِني لأعلمُ كَلِمَةً لَوْ قالَهَا لذهبَ عنهُ ما يجدُ، لَوْ قالَ: أعوذُ بالله مِنَ الشَّيْطانِ الرَّجيمِ، ذهب عَنْهُ ما يَجدُ


Sungguh saya mengetahui ada satu kalimat, jika dibaca oleh orang ini, marahnya akan hilang. Jika dia membaca ta’awudz: A’-uudzu billahi minas syaithanir rajiim, marahnya akan hilang. (HR. Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Apabila seseorang marah, kemudian membaca: A-‘udzu billah (saya berlindung kepada Allah) maka marahnya akan reda.” (Hadis shahih – silsilah As-Shahihah, no. 1376)

2.  Kedua : Diam dan jaga lisan. Jangan bercakap walaupun bermacam perkara terlintas di fikiran, kerana sewaktu marah kita akan mengeluarkan perkara yang mungkin menyakitkan hati dan mengaibkan orang. Ini akan memburukkan lagi situasi.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallambersabda, Jika kalian marah, diamlah. " HR Ahmad 
إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

3. Tukar posisi kita. Jika dalam keadaan berdiri, kita ubah kepada duduk, atau berjalan duduk di tempat lain.

4. Jika terlalu marah, ingatlah hadis ini, Rasulullah saw bersabda " “Siapa yang berusaha menahan amarahnya, padahal dia mampu meluapkannya, maka dia akan Allah panggil di hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat, sampai Allah menyuruhnya untuk memilih bidadari yang dia kehendaki"  (HR. Abu Daud, Turmudzi, dan dihasankan Al-Albani)

Semoga kita akan menjadi ibu yang penyabar dan pandai mengurus emosi. Kerana kesejahteraan sebuah keluarga itu sangat dipengaruhi oleh seorang ibu. Ibu yang ceria secara automatik akan membuat anak-anak dan ayah gembira. 


Malah setiap suami inginkan seorang isteri yang mampu menceriakan rumahtangga, tambah lagi setelah penat bekerja seharian mencari rezeki di luar. Bak kata Yusri KRU, isterinya Lisa Surihani seorang isteri yang sangat membahagiakan kerana dia pandai menceriakan susasana dan tidak beremosi. (eh, tiba-tiba gosip artis pula, hehe)