Pages

Sunday 12 October 2014

Apa Cita-Cita Anak Lelaki Anda?

Ibu-ibu yang ada anak lelaki, cuba tanya apa mereka nak jadi bila besar nanti? Macam anak saya dia akan jawab nak jadi polis atau askar. Saya rasa tentu ramai juga budak lelaki nak jadi askar atau polis masa dia kecil kan?


Pada mulanya saya risau sebab fikir macam kurang elok bila dia asyik cakap nak jadi askar, nak beli mainan senapang, pistol dan asyik kata nak tembak orang jahat. 

Tapi semalam saya hadir ke seminar keibubapaan yang disampaikan oleh Pak Utih, baru saya faham lebih jelas tentang sifat sebenar anak saya ni. 

Menurut Pak Utih, fitrahnya orang lelaki dilahirkan sebagai pelindung, dan berjiwa pejuang. Mereka sentiasa nak jadi hero. Dan jika dari kecil kita nampak ciri-ciri ini dalam diri anak lelaki kita maksudnya anak lelaki kita normal! 

Jangan risau jika dia sibuk nak main senapang dan pistol. Raikanlah fitrah dia sebagai lelaki. Cita-cita tu akan berubah seiring dengan ilmu dan minatnya bila besar nanti. Yang penting kita ibu-ibu kena bersyukur kerana mempunyai anak lelaki yang mempunyai sifat pelindung, berjiwa pejuang dan boleh melindungi keluarga nanti. 

Alhamdulillah ^__^



Monday 26 May 2014

Ulasan Kelas Asas Blog dan Penulisan

Saya mula melibatkan diri dalam bisnes secara online pada tahun 2011. Sebelum itu pada tahun 2008-2009 saya ada membuka kedai menjual pakaian dan mengambil tempahan jahitan serta membuat kursus belajar menjahit. Kedai ini diusahakan bersama sahabat saya tetapi terpaksa ditutup kerana masalah pekerja dan kami masing-masing ada komitmen baru. Jadi selepas bersalin suami meminta saya menjaga sendiri anak di rumah. Bermula dari situ saya mula mencari peluang bisnes dari rumah.

Saya menyertai bisnes secara dropship tanpa modal di internet. Produk dropship agak bagus malangnya saya tidak pandai bahagian pemasaran. Kemudian saya pergi ke kursus belajar FB ads untuk beriklan di facebook. Setelah faham cara beriklan di facebook, saya ditemukan dengan sahabat saya yang belajar di USM dahulu yang telah menjadi pemborong barangan kanak-kanak. Apalagi saya terus menjadi agennya dan berbekal ilmu FB ads saya berjaya mendapat untung bersih mencecah 4 angka, dan kini saya menjadi pemborong pula. Tetapi sejak akhir-akhir ini FB semakin mengetatkan polisi iklan dan kos iklan di facebook semakin mahal.

Kemudian saya ditemukan dengan kak Masayu Ahmad yang sering bercerita tentang Akademi Belajar Dari Rumah di facebooknya. Saya berasa begitu tertarik dengan konsep ini lantas terus berdaftar kursus asas blog dan penulisan dengan beliau. Saya diwajibkan melengkapkan 44 entri sebagai tugasan utama tetapi selepas beberapa entri saya hilang fokus dan blog ini terbiar.

Tetapi apa yang mengejutkan saya apabila saya dihubungi ramai ibubapa yang menemukan blog saya dan ingin membeli set membaca daripada saya selepas saya bercerita di blog tentang ajar anak membaca. Ini benar-benar membuka dimensi baru buat saya. Rupanya pemasaran melalui blog sangat besar kesannya dan lebih diyakini. Tetapi jika buat blog sendiri secara individu tentu kesannya tidak sebaik berblog melalui Akademi Bekerja Dari Rumah ini. Sebabnya sebelum ini juga saya ada blog sendiri untuk jualan tetapi tiada pengunjung.

Namun dengan menyertai Akademi ini, saya mendapat jaringan bines yang luas dan capaian blog saya lebih tinggi kerana ada lebih 600 blog yang bergabung dan saling membantu sesama ahli akademi untuk menaikkan blog kita di google. Dengan ini kita akan mendapat lebih ramai pelawat dan tentu sekali lebih ramai pelanggan! Nasihat saya, jika ingin berbisnes online jom bergabung dengan kami di Akademi Bekerja Dari Rumah.

Sunday 25 May 2014

Slot Kursus Puan Lina Karim kini boleh dengar secara online!

Saya yakin tentu ibu-ibu yang sangat menitikberatkan tentang didikan awal anak mereka mengenali siapa Puan Lina Karim, ibu kepada Darwish dan Darwisya kan. Jika tak kenal boleh cuba kenali beliau ye. Sangat rugi jika tak ikuti tips dan nasihat beliau sebabnya kisah Puan Lina ini telah memberi dimensi baru kepada ibu-ibu di Malaysia untuk mendidik anak mereka menghafal dan membaca quran seawal usia 3 tahun!

Puan Lina sangat komited membantu ibu-ibu lain yang mempunyai impian yang sama, mahu anak menghafal quran di awal usia. Beliau banyak menganjurkan kursus-kursus di sekitar Selangor dan Kuala lumpur. Tetapi beliau agak sukar untuk mengadakan kursus di tempat-tempat lain memandangkan anak-anak yang masih bersekolah dan tanggungjawab lain. Memahami keperluan menyampaikan ilmu yang Allah titipkan buatnya, kini Puan Lina juga menyampaikan ceramah seperti dalam kursusnya secara online agar semua ibu di seluruh Malaysia dapat mendengar, dan tidak beralasan lagi untuk tidak mengajar anak al quran dari kecil.

Saya kongsikan emel beliau ;


Assalamualaikum aini,

 Apa khabar? Dari sehari ke sehari ramai yang bertanya pada saya bagaimana bermula untuk mengajar anak al Quran dari bayi kerana saya sangat-sangat mempromosikan mengajar al Quran itu dari B.A.Y.I.  Alhamdulillah dapat saya membuat sebuah video yang menerangkan serba sedikit tentang mengajar al Quran dari Bayi. Cuma nak beritahu... ianya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menontonnya. Berminat dan ada masa tak? 
Jika aini ada anak kecil dan berminat untuk Tutorial Video PERCUMA Tips Mengajar Anak Menghafal al Quran boleh teruskan untuk ke link video tersebut. Jika tidak, abaikan saja emel ini. Jika berminat, boleh terus klik pada imej banner diatas, ataupun link dibawah ini. Syaratnya mudah sahaja.. cuma isikan nama dan emel, sahkan emel dan kemudian link video tersebut akan dihantarkan pada reader.
Semoga video tersebut memberi manfaat dan semangat untuk lebih ramai ibubapa memasukkan al Quran itu dari bayi.
Semoga ianya bermanfaat.

Ibu-ibu dan ayah-ayah boleh klik link berwarna biru tu dan mendaftarkan emel anda di bahagian bawah sekali. Kemudian anda akan dapat akses ke ruangan menonton video tersebut. 

Saturday 24 May 2014

kita adalah apa yang kita baca

Percaya tak, apa yang kita fikir sekarang, apa sikap dan peribadi kita sekarang sebenarnya turut dipengaruhi oleh bahan bacaan yang pernah kita baca sejak kecil dahulu??

Kita adalah apa yang kita baca.
Begitulah juga anak kita akan jadi ikut apa yang dia baca.

Jadi sangat penting memilih bahan bacaan yang baik dan berkualiti untuk anak. Tak guna jika kita kawal anak tengok TV, kawal anak daripada main game, tetapi kita tak kawal bahan bacaan anak kita.
Pastikan buku-buku yang dibaca adalah yang mendidik rohani, minda dan jiwanya.

Jangan lupa berikan anak bahan bacaan tentang sirah Nabi, kisah para pejuang Islam dan kisah-kisah tauladan yang baik. Dalam kesibukan kita sebagai ibubapa dengan tugasan harian dan pelbagai tanggungjawab lain, bahan bacaan itulah yang akan membantu kita dalam membentuk dirinya menjadi lebih baik.


Ibu bapa pun boleh check balik buku-buku yang dibaca. Banyakkan membaca buku ilmiah berbanding novel yang tebal-tebal tu. Saya masih ingat di zaman remaja dulu, kawan seasrama dengan saya pengumpul novel tegar. Penuh koleksinya dengan novel-novel terbaru dan tebal-tebal semuanya. Saya pun terikut membaca novel sekali. Apa yang saya dapati, selepas baca novel tu tentu saya akan teringat-ingat lagi jalan ceritanya. Dan jalan cerita setiap novel memang banyak buat kita berangan-angan. Malah kawan saya tu siap karang novel fantasi dia sendiri! Tapi saya tak tahulah siap ke tak novelnya. Kalau siap teringin juga nak baca.

Satu lagi bahayanya baca novel ni, sebab dalam novel-novel saya baca ada kisah gadis dirogol, kemudian kahwin dengan perogol, atau berzina, mengandung dan kahwin, ditentang keluarga, atau disisihkan dan penamatnya berjaya merebut hati suami atau isteri. Atau hubungan terlarang lain. Dalam tak sedar, pembaca novel yang rata-ratanya sangat muda remaja menyematkan di minda beginilah jalan hidup mereka dalam bercinta. Ditentang keluarga atau suami playboy atau isteri playgirl tetapi lama-lama bahagia. Benda yang sepatutnya salah dan dilarang agama diolah dalam sebuah novel dengan menarik hingga watak-wataknya diminati. Ini novel-novel yang saya baca dahulu lah, sekarang saya tak pasti bagaimana pula jalan ceritanya.

Namun begitu tak dinafikan ada penulis novel yang bagus-bagus juga, dan ada banyak genre berbeza.  Pilihlah yang mana anda rasa bagus untuk perkembangan minda masing-masing.

Tetapi saya tidaklah sangat banyak membaca buku ilmiah pun, masih banyak yang saya tidak tahu dan belum baca. Doakan saya agar lebih rajin membaca ye :-)

Saya nak mengajak kita semua membaca kisah adik Ahmad Ammar menemui syahid di bumi Turki dalam misi untuk mempelajari dan mendekati sejarah khilafah uthmaniyyah dan sejarah Islam yang sebenar.  Moga-moga perjalanan hidupnya menjadi inspirasi buat anak-anak kita dan kita sendiri.

Jangan lupa beli buku tentang adik Ahmad Ammar ini sebagai hadiah untuk anak kita nanti.  Boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran anda. 








Udang goreng celup tepung

Kat tempat tinggal saya ni ada satu tempat pendaratan ikan, yang mana harga ikan, sotong dan udang kat situ memang sangat murah berbanding harga pasaran. Setiap bulan kami akan ke situ untuk membeli ikan dengan harga yang murah.

Suami saya menyiang ikan 

Inilah antara ikan yang kami beli, ikan jenahak hanya RM7 sekilo! Besar-besar pula tu. Segar dari laut. Ikan yang sampai tu duk melompat-lompat lagi. Harga ikan yang masih hidup biasanya mahal sikit daripada yang dah mati. Kami beli 7 ekor yang saiz besar, tak ingat dah berapa kilo, dapat RM48, dan percuma seekor ikan kerapu yang dah cedera. Besar jugak. Alhamdulillah rezeki. 

Minggu lepas ikan jenahak, kerapu tak ada. Yang ada kat pelantar berbakul-bakul semua ikan bawal. Musim ikan bawal agaknya. Bukan bawal hitam tapi bawal putih. Jadi kami beli ikan bawal, sotong dan udang. Udang yang harga pasaran dalam RM30, hanya berbelas ringgit sahaja sekilo. Memang rugilah orang-orang kat kawasan ni yang tak pernah datang sini. 

Jadi hari ini resepi makan tengahari adalah udang celup tepung. Resepinya sangat mudah, hanya diperlukan bahan-bahan seperti berikut ;

1. Udang yang sudah dibuang kulit
2. Tepung beras
3. Serbuk kunyit
4. Serbuk kari 
5. Garam
6. Telur 1 biji

Bahan-bahan 2-6 diletakkan dalam mangkuk dan digaul sebati dengan air. Jangan terlalu cair pula ye. Agak-agak seperti dalam gambar ini.

gaul sebati

Kemudian panaskan minyak, dan masukkan udang dah dicelup ke dalam tepung ini seekor demi seekor. Goreng dengan api sederhana sehingga garing. 

abaikan kuali yang hitam ni ye


yummy ! sedapnya.

Sedap dimakan ketika masih panas dan dicicah sos cili. 



Menggalak Anak Membaca Siri 2

Langkah yang boleh diambil ibubapa untuk mendorong anak membaca. Sambungan daripada artikel dahulu di sini.

1. Teladan dari ibubapa

Ibubapa haruslah menunjukkan teladan yang baik. Semasa bersama-sama dengan anak-anak, tunjukkanlah minat anda terhadap bahan bacaan seperti membaca suratkhabar, buku atau majalah. Dorong dan galakkanlah mereka untuk sama-sama membaca dan menikmati bahan bacaan. Sekiranya mereka telah didorong untuk meminati buku sejak kecil lagi, makatidak akan timbul masalah apabila mereka dewasa kelak.

2. Hadkan masa untuk menonton tv

Banyak bukti yang menunjukkan bahawa TV membawa pengaruh yang kuat terhadap minat membaca di kalangan kanak-kanak. Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk membaca buku banyak dihabiskan dengan menonton TV sahaja. Sekiranya mereka asyik menonton TV, maka mereka akan melupakan tugas membaca buku. Ibubapa sepatutnya menyediakan satu jadual, masa anak-anak menonton TV. Contohnya, di waktu petang 1 jam ( 4-5petang) dan di waktu malam 1 jam (7-8malam).



Masa menonton TV hendaklah dihadkan kepada 1-2 jam sahaja sehari. Ibubapa hendaklah tegas dengan pendirian mereka. Tugas mendisiplinkan anak adalah tugas anda. Mungkin pada awalnya, ereka tidaks enang dengan peraturan baru itu. Anda hendaklah menerangkan kepada mereka kebaikan-kebaikan yang diperolehi darinya. Lama-kelamaan mereka akan terbiasa dan dapat menyesuaikan diri. Bak kata pepatah, "Alah bisa tegal biasa".

3. Suasana pembelajaran yang merangsangkan

Suasana di rumah juga mempengaruhi minat membaca. Keadaan rumah yang bising, hingar-bingar dan tidak tersusun selalunya mematikan semangat untuk membaca. Seboleh-bolehnya, mewujudkan suasana yang tenang di dalam rumah.

Semasa waktu anak-anak membaca atau belajar, kurangkan aktiviti-aktiviti seperti enonton TV, berbual-bual dan suara anak-anak kecil yang membuat bising. Keadaan di rumah pula hendaklah bersih dan kemas.

4. Perpustakaan mini

Wujudkan sebuah perpustakaan mini di rumah. Belikan buku-buku yang menarik mengikut peringkat umur kanak-kanak. Sekiranya ibubapa tidak mampu membeli buku-buku yang mahal, belilah secara beransur-ansur dari pameran-pameran buku yang mengadakan jualan murah.

cantiknya

Kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah lebih sukakan buku-buku bergambar. Kanak-kanak di bawah 4 tahun sukakan gambar yang berwarna warni seperti gambar binatang, gambar manusia dan barang-barang yang terdapat di sekeliling mereka. Kanak--kanak 5-6 tahun pula sukakan buku-buku cerita bergambar dan buku-buku aktiviti seperti aktiviti mewarna, melukis dan lain-lain.

5. Galakan daripada ibubapa

Galakan dan dorongan ibubapa amatlah penting. Selalulahbercerita kepada anak-anak tentang pentingnya buku-buku dan faedah yang diperolehi daripada membaca. Ibubapa juga perlulah berbual kepada anak-anak tentang buku-buku yang dibacanya.

Apabila ada kelapangan, bawalah mereka ke perpustakaan awam. Tentu mereka seronok melihat buku-buku yang berbagai jenis. Membawa mereka ke kedai buku juga ada faedahnya. Ia merupakan satu rangsangan kepada mereka supaya minat membaca.

Bagi kanak-kanak yang lebih kecil berumur 3 bulan hingga 2 tahun, ibubapa boleh membacakan buku-buku bergambar yang menarik kepada mereka.Biarkan mereka melihat dan membelek-belek gambarnya. Di samping menanamkan minat membaca, ibubapa juga dapat memperkembangkan kemahiran bahasa dan perbendaharaan kata.

selamat membaca !




Friday 23 May 2014

Menggalak Anak Membaca Siri 1

Hujung minggu begini hari yang sesuai untuk aktiviti keluarga. Tetapi disebabkan suami saya ada urusan kerja, maka kami pun beraktiviti bebaslah di rumah. Sementara anak-anak sibuk bermain, saya terjumpa buku yang dipinjamkan kawan saya sewaktu mengandung anak pertama dahulu. Dah lama dipinjamkan nampaknya kena cepat-cepat pulangkan. Sebelum itu saya belek-belek dan terjumpa bab terakhir buku ini bertajuk 'Menggalak Anak Membaca'.  Jadi saya kongsikan kandungan bab buku itu di blog ini agar dapat menjadi panduan apabila buku itu dipulangkan nanti.

Buku ini dicetak pada 1996. dah lama..
Ramai ibubapa mahu anak mereka pandai tetapi tidak pula menyediakan asas untuknya menuju ke arah tersebut. Anak adalah sumber insan yang perlu dibangunkan potensinya ke tahap yang optimum supaya menjadi individu berguna kepada keluarga, agama dan negara.


Bagaimana Menggalakkan Anak Membaca ? 

Umur 1 hingga 5 tahun adalah lingkungan umur yang sangat penting bagi kanak-kanak. Hampir 80% perkembangan intelek kanak-kanak berlaku dalam lingkungan umur ini. Amat penting sekali minat membaca disemaikan seawal mungkin. 

1. Anak-anak suka sekali mendengar kata-kata indah seperti pantun, nyanyian, puisi, syair. Masa yang sesuai diperdengarkan ialah semasa bermain dan menidurkan.

2. Anak-anak sukakan buku berwarna-warni dengan gambar binatang dan lain-lain. Carilah buku-buku yang cantik, tahan kotor, kulit tebal, supaya tidak mudah koyak. 

3. Buku-buku sesuai diberikan apabila anak-anak sudah bersedia memegang buku iaitu berumur satu tahun ke atas. 

4. Bagi kanak-kanak dua tahun ke bawah, selain dari buku-buku bergambar, sesuai ditunjukkan flashcard dengan gambar-gambar. Ibu bacakan gambar-gambar dan buat ujian terhadap daya ingatan mereka. Poster-poster juga sesuai.

5. Buku-buku hendaklah mempunyai gambar-gambar yang jelas menunjukkan benda atau bentuk yang dimaksudkan. Seelok-eloknya gambar benda-benda yang biasa dilihat.

6. Cara membaca bersama anak ialah dengan memangku anak-anak anda dan buka halaman demi halaman, sambil menunjukkan gambar.

7. Gunakan suara yang terang dan jelas mengikut sebutan yang betul-gunakan bahasa baku, bukan bahasa pelat.

8. Peringkat ini bukannya hendak mengajar membaca, yang penting ialah mengenali bentuk buku, cara memegang buku dan menyayangi buku.

9. Apabila anak berumur tiga tahun ke atas, ibubapa boleh mengajar anak memegang pensel atau menulis dan membaca buku cerita bergambar.

Peranan ibubapa sebagai 'pendorong pembacaan' wajar diterima dengan hati yang terbuka dan bertanggungjawab. Iaitu tanggungjawab menerapkan ilmu pengetahuan dengan membaca. Sedangkan ayat al quran yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah Al-Iqra (Bacalah).

Beberapa langkah yang boleh diambil ibubapa untuk mendorong anak membaca bersambung di sini