Pages

Tuesday, 13 May 2014

Rotan Anak Yang Tidak Solat

Rotan anak yang tidak solat, perkara ini bukan sesuatu yang pelik dalam masyarakat kita sehinggalah kita dikejutkan dengan berita penangkapan pasangan suami isteri di Sweden disebabkan anak mereka mengadu dipukul dan dirotan kerana tidak solat. Tentu sekali isu ini memberi impak besar kepada kita umat Islam, dan mungkin akan mendorong pandangan yang kurang baik kepada agama Islam yang mulia ini.

Kita tutup dulu kes di Sweden itu sebab melibatkan sistem di negara asing dan undang-undang yang berlainan dari tempat kita. Tentu sekali ini ujian yang teramat besar buat mereka sekeluarga dan didoakan semoga segala urusan mereka dipermudahkan Allah.

Melihat kembali hadis yang menjadi sandaran untuk merotan anak yang tidak solat, saya ingin berkongsi ilmu yang saya dapat dari sebuah seminar keibubapaan yang saya hadiri sebelum ini yang mengulas sedikit tentang hadis ini. Saya kongsikan kembali sebagai panduan untuk saya di masa hadapan, sebagai peringatan jika terlupa.

"Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia 7 tahun, dan pukullah dia kerana (tidak) sembahyang pada usia sepuluh tahun. dan pisahkan mereka di tempat tidur." (Riwayat Al Hakim dan Abu Daud).

Dalam hadis ini, ibubapa kena suruh anak solat bermula usianya 7 tahun.
Kemudian bermula usia anak 10 tahun, jika dia tidak solat dia maka perlu dirotan.

Mari kita tengok perbezaan jarak antara 7 tahun hingga 10 tahun ini. Ada 3 tahun untuk ibubapa didik anak tentang solat dan disiplinkan. 1 tahun bersamaan 365 hari.

Mari kita buat kira-kira;
Suruh anak solat 5kali sehari  x 365 hari x 3 tahun = 5475 kali !!!

Maknanya sebelum kita dibolehkan rotan anak yang tak solat tu, ibubapa kena ajak, didik dan pimpin anak untuk solat sebanyak 5475 kali terlebih dahulu. Dalam  tempoh didikan ini ibubapa perlu terangkan agar anak faham pentingnya bersolat, kewajipan bersolat, dan dosa meninggalkan solat. Renungkan balik jika hanya membiarkan anak tanpa didikan untuk solat, dan tidak memberikan kefahaman kepada anak dengan bersungguh-sungguh kemudian apabila usia anak 10 tahun kita terus memukulnya, tentulah bersalahan dengan maksud sebenar hadis ini.

Nyatalah Islam amat menitikberatkan didikan awal dan memberi kefahaman dahulu. Hukuman hanya dijalankan jika dia telah faham tentang kesalahannya dan kesan akibat perbuatannya itu.

Cara menyuruh anak solat ;

Perlulah diajak bersolat dengan cara yang positif, keseronokan, dan yang paling penting adalah contoh tauladan dari ibubapa sendiri yang menjaga waktu solat. Bila anak-anak berada dalam suasana yang semua orang bersolat semenjak kecil insyaallah bukan perkara yang sukar untuk mendidiknya supaya bersolat.

Cara merotan anak;
Menurut penceramah, penggunaan rotan kepada anak banyak kesan negatif berbanding kesan positif. Dalam islam, rotan hanya digunakan untuk menghukum jenayah berat sahaja. Bila anak sudah remaja, kaedah rotan hanya digunakan jika mereka melanggar arahan setelah faham tentang larangan yang diberi. Rotan hanya pilihan terakhir jika segala kreativiti untuk menyelesaikan masalah tidak memberi kesan. Malah jika anak sudah dibiasakan dengan hukuman rotan sejak kecil, besar kemungkinan hukuman itu sudah menjadi biasa dan tidak diendahkannya dan dibimbangi akan menanam perasaan benci dan marah dalam diri anak.

Cara merotan juga bukan dengan merotan sekuat hati, tetapi diletakkan buku atau sesuatu di celah ketiak semasa merotan agar pukulan yang dikenakan perlahan dan tidak mencederakan anak kita. Malah jika perlu merotan anak jangan dirotan di depan orang lain sehingga menjatuhkan air mukanya tetapi hukuman ini dibuat di dalam bilik atau tanpa kehadiran orang lain. Amat penting hukuman dibuat setelah anak faham kesalahan yang dibuatnya. Jika anak tidak mengulangi kesilapan lagi dan kembali bersolat maka ibubapa mestilah meraikannya dan memujinya di hadapan adik beradiknya yang lain.

Itulah cara yang terbaik, bila anak buat kesilapan hukumlah dia tanpa mengaibkannya, dan bila dia berbuat kebaikan maka pujilah kebaikan itu agar dia terus terdorong untuk buat lebih banyak kebaikan.


No comments:

Post a Comment