Pages

Monday 15 July 2013

Ajar Anak Membaca Sendiri atau Hantar Ke Kelas ?

Zaman sekarang ibu-ibu kebanyakannya bekerja dan mempunyai masa yang terhad di rumah. Pulang dari pejabat, terpaksa pula berkejar menyiapkan urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas rumah, memandikan anak, membasuh pakaian dan sebagainya. Kesibukan ini menyebabkan ibu tidak berpeluang meluangkan masa dengan anak-anak. Ramai ibu yang menghadapi dilema ini.

Dalam masa yang sama, mereka juga inginkan yang terbaik untuk anak. Sudah tentu mahu anak dapat membaca awal dan mencapai kecemerlangan dalam hidup mereka. Jadi pilihan yang ada hanya menghantar anak-anak ke kelas membaca atau tuisyen dengan harapan mereka akan mendapat didikan yang terbaik.

Malangnya ada anak yang turut keletihan setelah seharian di rumah pengasuh atau tadika. Jadi semasa kelas ada yang tertidur dan tidak dapat fokus semasa belajar. Saya agak kasihan melihat anak seawal 4, 5 tahun terpaksa menghabiskan masa menghadiri kelas walaupun penat. Ini menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan semasa belajar.

Menurut kajian, kanak-kanak lebih mudah belajar jika mereka dalam keadaan gembira, dan selesa dengan pengajar tersebut. Pada pandangan saya, orang yang paling dekat dan selesa buat anak adalah ibu sendiri. Jadi saya amatlah berharap agar dalam kesibukan bekerja, ibu dapat luangkan masa mengajar anak di rumah. Proses pengajaran perlu dalam keadaan santai, dan meriangkan supaya anak tidak bosan. Tak perlu lama, hanya 5-10 minit sahaja. Yang penting perlu dibuat secara konsisten setiap hari.

Apatah lagi jika ibu adalah surirumah sepenuh masa. Walaupun sibuk menguruskan urusan rumahtangga yang tak sudah-sudah, ibu perlu khaskan satu masa untuk mengajar anak. Pastikan waktu itu anak dalam keadaan selesa seperti sudah mandi dan makan. Ibu juga mestilah dalam keadaan selesa dan gembira.

Saya suka bertanya kepada pelajar yang kelihatan agak cepat membaca, adakah mereka juga selalu membaca di rumah, serta adakah ibu mereka turut mengajar membaca. Jawapan mereka adalah ibu turut mengajar di rumah, serta ibubapa menyediakan mereka persekitaran yang menyeronokkan untuk membaca seperti membeli buku-buku bacaan menarik dan membuat perpustakaan mini untuk mereka.

Tetapi jawapan adalah sebaliknya bila saya bertanya pelajar yang sedikit lambat dan selalu terlupa jika cuti beberapa hari. Jadi saya meyimpulkan, amat perlu dorongan dan rangsangan dari ibu bapa sendiri agar anak minat dan suka membaca. Tidak salah menghantar anak ke kelas membaca kerana ia turut membantu mempercepatkan lagi skil membaca dan skil sosial mereka. Tetapi pastikan ibu bapa turut merangsang mereka dari rumah agar mereka lebih gembira dan seronok belajar membaca. Jadi hasilnya mereka akan cepat membaca tanpa perlu dipaksa.

No comments:

Post a Comment