Pages

Monday 9 September 2013

Attomen oh ultraman


Semalam hari minggu kami sekeluarga meluangkan masa bersiar-siar di Pulau Pinang. Sebenarnya kami memang tinggal di pulau pinang tetapi di kawasan seberang prai. Jadi bila ada kelapangan kami akan ke pulau, menaiki jambatan pulau pinang iaitu jambatan yang terpanjang di Malaysia dan antara yang terpanjang di Asia Tenggara, atau sekali sekala menaiki feri sambil menikmati keindahan panorama laut dalam. 

Tempat kesukaan suami tentunya nasi kandar Line Clear yang famous di Penang, dan kemudian menikmati pasembor di Padang Kota sambil disapa angin laut yang sepoi-sepoi bahasa. Membawa anak-anak bersiar sekali sekala ini perlu di samping mengeratkan hubungan, dapat juga meluaskan pandangan dan pengalamannya.

Ketika  melalui kawasan Bukit Jambul menuju ke Balik Pulau, kami ternampak sebuah tadika yang baru dibina. Ada dua patung ultraman yang sangat besar dalam keadaan berdiri dan duduk di kawasan tadika tersebut. Lantas kami suami isteri memberitahu ammar, anak sulung kami. "Ammar tengok tu ultraman! " Ammar terpinga-pinga sambil mencari arah yang kami tunjukkan. "Hah, atomen,.. atomen ? " Kemudian baru kami tersedar bahawa anak kami memang belum kenal apa itu ultraman.  Tak tahu bagaimana nak menerangkan kepadanya, maka kami pun mengalihkan perhatiannya kepada pemandangan lain di situ.

Ultraman, dulu sampai sekarang ultraman sangat dikenali di kalangan kanak-kanak sebagai hero yang menyelamatkan dunia dan menentang raksasa. Selain ultaman banyak lagi hero ciptaan manusia seperti superman, doraemon, dan bermacam lagi hero sebagai hidangan hiburan kanak-kanak. Jelas sekali hero-hero ini dicipta khas untuk mereka. Kenapa?? Sebab di usia kecil ini anak perlukan seorang "hero" atau ikon untuk dia minati, contohi dan ikuti. Malah sebagai pujaan mereka.  Ada yang sekadar suka-suka, dan ada juga yang betul-betul dipengaruhi oleh watak hero tersebut sehingga sanggup terjun seperti superman !

Mengingatkan peristiwa ini,terdetik di hati siapakah hero sebenar yang patut menjadi contoh tauladan dan menjadi ikutan anak-anak.  Teringat pula semasa menghadiri kursus Ajar Anak Quran anjuran Islamic Parenting Network, Pn Lina bercerita tentang kisah Sultan Muhammad Al Fateh. Semasa Sultan Muhammad Al Fateh masih bayi, ibunya sering membawanya ke sebuah sungai menghadap negara Konstantinopel sambil berkata ;

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad) “
Dan ibunya menyambung lagi, “orang tersebut adalah kamu anakku !!” 

Begitulah setiap hari ibunya berterusan mengulang  kata-kata tersebut kepada anaknya , sambil meniupkan  visi dan misi yang hebat kepada anaknya.  Maka dengan izin Allah terbuktilah hadis tersebut di tangan Sultan Muhammad Al Fateh dalam usia yang sangat muda, 21 tahun! Cuba renung balik di mana kedudukan dan apa keadaan kita dalam waktu usia tersebut.

Lihatlah betapa hebatnya peranan seorang ibu dalam membentuk karakter, membina peribadi,  dan meniupkan visi hidup kepada anaknya. Lantas tidakkah kita ingin menjadikan anak-anak kita sehebat Sultan Muhammad Al Fateh ? Jika jawapannya YA, maka  mulalah merangka dari sekarang apakah visi hidup yang ingin kita bina dalam diri anak. Jika setiap hari dihidangkan dengan gwiyomi, dengan lagu-lagu cinta asmara, agaknya karakter dan masa depan apa yang kita cipta untuk anak.  Tepuk dada tanya selera.


Jom bina visi hidup yang hebat dari sekarang. Hidup hanya sekali,  jangan biarkan hidup biasa-biasa tapi jadikannya LuarBiaSaa !!

No comments:

Post a Comment