Pages

Sunday, 6 October 2013

Sichida Method

Otak Kanan - Teknik Jepun Shichida Methods

Ramai ibu bapa yang mencari-cari tips untuk merangsang otak anak. Di sini saya kongsikan artikel yang saya jumpa di carian internet. Kebanyakan artikel yang menceritakan tentang teknik shichida method ini adalah sumber cerita yang hampir sama. Mari kita baca dan amalkan.

Keratan artikel :

Beberapa minggu lepas boss ada beritahu saya bahawa dia menghantar anaknya yang berusia 2 tahun masuk ke kelas Sichida, iaitu kelas yang diasaskan dari Jepun. Kelas ini melatih anak-anak befikir menggunakan otak sebelah kanan. Otak sebelah kanan ini lebih efektif sebenarnya dari otak sebelah kiri tetapi kena dilatih. Kelas ini agak mahal, Kalau kelas tadika Juanna yang saya nak masukkan tahun depan tu kosnya lebih tinggi dari kos kita satu semester kat ITM, Tapi boss saya ni atas kesedaran bahawa ramai orang cina yang pergi ke kelas tersebut untuk mengajar anak-anak mereka, sedangkan orang melayu boleh dibilang dengan jari. Maka dia pun bersetuju dan ikhlas untuk berkongsi dengan saya dan staf melayu yang lain.

Saya pun berharap orang lain praktiskan benda ini kepada anak mereka. Ini kerana baru seminggu saya buat kepada anak sendiri pun dah nampak keberkesanannya.

1. Sewaktu anak nak tidur atau tidur-tidur ayam, cakap kepadanya sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang dia, dia budak baik, dia anak soleh, dia budak kuat, tak sakit, dia budak pandai dan sebagainya . Sebab semasa tidur-tidur ayam ini otak kanan sedang bekerja, otak kiri dah tidur. Tapi kena buat seikhlas hati. Kalau tengah marah tak menjadi.  Kalau anak dah tidur, ramas-ramas jari atau tangan dia balik, supaya dia kembali berada dalam keadaan tidur-tidur ayam. Saya buat kat anak saya sebab dia bangun pagi lambat lepas tu siap melalak-lalak lagi, Saya cakap hari-hari kat dia, dia budak baik, dia suka pergi sekolah, dia budak sihat, dia nak bangun awal. Hasilnya sekarang jam 6.30 pagi dah buka mata termasuk Sabtu dan Ahad.

2. Mula guna kad imbas untuk ajar anak. Saya ajar ABC-Z guna kad imbas seminggu sahaja. Sekarang anak dah kenal semua huruf malah siap boleh eja perkataan pendek-pendek. Buat kad banyak-banyak dan tunjuk kat anak cepat-cepat (imbas beberapa saat sahaja untuk setiap kad). Insya Allah cepat dia dapat sebab bila kita tunjuk kad laju-laju atau cepat-cepat, otak kanan die bekerja keras untuk tangkap apa benda yang kite tunjuk tu. Kita boleh buat kad 1,2,3, atau gambar-gambar. Potonglah sendiri gambar yang ada di majalah atau suratkhabar dan sebagainya mengikut kreativiti.

3. Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan, Jadi ajar anak bermain tanah liat, main water colour, melukis, gunting kertas, origami dan sebagainya. Memanglah kita yang kena mengemas tapi tidak mengapa. Satu lagi cuba kita lukis gambar, contohnya rama-rama, tapi sebelah sahaja. Kemudian suruh anak sambung melukis kat sebelah lagi mengikut imaginasi mereka. Ini pun dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan. Anda tahu tak, chopstik juga mengaktifkan kerja tangan dan gerakkan otak kanan. 

4. Jangan marah-marah atau tengking anak sebab mereka boleh simpan semuanya dalam otak. Kalau terlepas marah, minta maaf dan terangkan sebab anda marah, dan nyatakan kesilapan yang anak buat. Juga ikut balik cara no 1 tadi, dan minta maaf kat anak.

5. Satu lagi bina imaginasi anak dengan bercerita kepada mereka dan suruh mereka sambung cerita tersebut, walaupun cerita tersebut hanya rekaan sahaja.

6. Main teka-teki dengan anak. Letak satu barang dalam kotak tisu dan suruh anak teka apa dalam kotak tu. Mula-mula boleh bagi bayangan seperti warna, bunyi, dan sebagainya untuk mereka meneka. Lama kelamaan anak dapat meningkatkan deria ke enam dengan belajar fokus dan imaginasi untuk meneka benda tersebut. Ini semua untuk aktifkan otak sebelah kanan. Tapi ingat, semua aktiviti yang kita buat dengan anak jangan terlalu lama hingga membosankan.

Sebelum buat latihan ini, kena tarik nafas dalam-dalam dan bertenang. Jangan buat sewaktu sibuk seperti tengah nak masak, dan kerja yang perlu fokus yang lain, nanti tidak berkesan. Buat teknik ini dengan ikhlas, dan merendah diri serta mengharap daripada Allah. Kita hanya berusaha tetapi Allah yang memberi anugerah kepandaian itu. Tapi kita kena berusaha, dan bersyukur kalau dah berhasil sebab bila-bila Dia boleh tarik balik.

Lagi satu untuk berkongsi sesama pembaca....

Kaunselor UTM, Dr, Syed Mohd. Shafek pun ada cakap benda yang sama dan dia bercerita tentang perkataan "jangan" kepada anak. Kalau kita banyak sangat guna perkataan "jangan" kepada anak, itulah yang anak akan buat. Jadi selepas ini kena ganti perkataan jangan kepada perkataan lain. Contohnya ,"Jangan bising abang" kepada "Tolong senyap ya abang"

Sama-sama kita praktikkan teknik scihida ini. Dalam Islam sendiri pun menggalakkan kita ibu bapa bercakap atau berdoa dengan anak ketika mereka dalam proses nak tidur kerana pada ketika itulah di antara waktu-waktu doa dimakbulkan.

sumber : halaqah.net

(artikel ini telah diedit oleh penulis blog NorainiDollah dari segi penggunaan tatabahasa dan ayat untuk memudahkan pembacaan, tanpa mengubah maksud tulisan penulis asal)

Tuesday, 1 October 2013

Jangan Pukul Anak Kecil Yang Menangis

Sudah fitrahnya anak kecil akan banyak menangis. Sebabnya itulah satu-satunya cara mereka memberitahu keinginan, tidak selesa, sakit, lapar, atau inginkan perhatian ibu. Jadi bila anak banyak menangis, cuba cari puncanya dahulu sebelum "stress" dengan tangisan anak.

Bukan sedikit ibu bapa yang tertekan dengan tangisan anak. Terutama sewaktu mula bersalin dan di dalam tempoh berpantang. Bayi-bayi ini ibarat baru masuk dari alam syurga yang indah ke alam yang baru dan sangat asing baginya. Kemudian melihat pula makhluk-makhluk besar (ibu bapa & sanak saudara) yang mengelilinginya. Tentulah dia berasa takut & tidak selamat. Langkah terbaik untuk menenteramkan bayi yang menangis adalah dengan memeluk bayi kita dengan penuh kasih sayang.

Pengalaman saya sendiri, jika emosi saya sedang tidak stabil atau tertekan, tangisan bayi saya akan sukar untuk dihentikan. Emosi ibu yang tidak stabil ini akan memberi tekanan perasaan kepada bayi dan ibu sendiri. Tetapi ajaibnya bilamana saya bertenang walaupun bayi saya sedang menangis dengan kuat, saya berasa semakin senang untuk memujuknya berhenti menangis. Jadi kata kuncinya adalah bertenang. Nak bertenang macamana? Ingat bahawa Allah swt telah memberi anugerah terindah ini kepada kita, di saat ramai lagi orang lain yang tidak mendapat peluang ini. Serta ingat bahawa waktu kecil bayi kita sekejap sahaja, jadi sayangilah & berilah perhatian kepada dia dengan sepenuh hati sebelum dia membesar dan ada kehidupannya sendiri.

Dari peringkat bayi sehinggalah boleh berjalan, bercakap, melompat dan berlari ke sana-sini, bukan sedikit tangisan anak yang perlu dihadapi ibubapa. Siang malam ada sahaja perkara yang membuatkan dia menangis dan menguji kesabaran ibu bapa yang keletihan.  Ingat senang ke mahu jadi ibu bapa ?? Mencabar tau, terutama kepada surirumah yang 24 jam melayan kerenah anak-anak memang memerlukan kesabaran & keperibadian yang tinggi untuk mendidik anak. Banyak kita dengar kes-kes ibu atau bapa yang memukul anak yang kuat menangis ini. Malah di negara China seorang ibu muda nyaris nak membaling anaknya dari tingkat 14 kerana terlalu tertekan dengan kerenah anak.

Memukul anak yang menangis akan memberi banyak kesan buruk, antaranya ;

1. Merenggangkan hubungan anak dengan ibubapa
2. Menjadikan anak pendendam, dan suka memukul
3. Anak menjadi pendiam dan banyak rahsia
4. Perkembangan minda anak terganggu dengan pengalaman dipukul ibubapa
5. Memberi kecederaan fizikal dan mental kepada anak.
6. Anak akan membesar menjadi individu yang bermasalah kerana tidak mendapat cukup perhatian dan kasih sayang dari ibubapa.

Larangan hadis tentang memukul anak kecil ;

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda :
Janganlah kamu pukul anak-anak kamu Di sebabkan mereka menangis dalam masa setahun. Kerana pada empat bulan pertama kelahiran nya Ia bersyahadat LAA ILAAHA ILLALLAH. Pada empat bulan kedua pula ia berselawat ke atas Nabi s.a.w. Dan pada empat bulan seterus nya pula ia mendoakan kedua ayah bonda nya.
( H.R. Abdullah Ibnu Umar r.a. ).

Baginda Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa tangisan anak di waktu kecil pada bulan pertama adalah tanda ia bertauhid kepada Tuhan Nya dan empat bulan kedua pula ia membacakan selawat kepada Nabi nya dan empat bulan seterus nya ia memohon istighfar untuk kedua ayah bonda nya.

Bersabda Baginda Rasulullah s.a.w. :
Anak-anak sebelum sampai ia baligh maka apa-apa yang di perbuat nya daripada kebaikan maka di tuliskan untuk nya dan kedua ibu bapa nya.
Dan apa yang di perbuat nya daripada kejahatan maka tiadalah di tulis untuk nya dan tidak pula di tulis untuk kedua ibu bapa nya.
Apabila ia telah baligh maka berlakulah yang di tulis itu atasnya iaitu segala amal baik atau buruk nya. 

( H.R.Imam Anas bin Malik r.a.)

Jadi para ibu bapa perlulah meningkatkan lagi kesabaran dalam mendidik anak. Allah swt hadirkan kita amanah yang besar ini untuk mendidik kita sendiri agar lebih sabar dan tabah. Insyaallah pendekatan yang penuh kasih sayang dan hikmah akan memudahkan kita dalam mendidik anak. 


Wednesday, 18 September 2013

Ajar Anak Kenal & Tulis Nama Sendiri

Mengajar anak mengenal namanya sendiri boleh dimulakan seawal usia 18 bulan. Saya tertarik dengan perkongsian Pn Nik Eliani di blognya disini tentang cara beliau mengajar anak mengenal namanya. Jadi di sini saya kongsikan apa yang telah saya buat untuk mengajar anak saya, Ammar mengenal namanya dengan mengikuti panduan Puan Nik Eliani yang menarik itu.

Kenapa perlu anak kenal dan tahu tulis nama sendiri?
1. Anak akan seronok kerana tahu menulis sendiri nama mereka.
2. Sangat membantu cikgu di sekolah atau tadika
3. Sebagai pengenalan diri kepada anak di mana-mana.
4. Menambahkan keyakinan diri anak.

Aktiviti menulis nama ini boleh dibuat bersama-sama anak. Tetapi jika dikhuatiri anak mengganggu dan bermain gunting yang tajam, bolehlah dibuat semasa anak tidur. Peralatan yang diperlukan adalah kayu/ straw atau apa-apa yang boleh dijadikan pemegang bendera nama. Saya menggunakan pembaris jahitan yang dah patah, hehe. Kemudian marker pen, gunting, dan salotape untuk mencantum.



KAD NAMA

Pertama sekali adalah membuat kad nama. Kad nama ini untuk ditampal di dinding atau di mana-mana yang sesuai. Saya meletakkan kad nama Ammar di peti sejuk kerana dia sangat suka membuka peti sejuk, jadi dia akan lebih kerap membaca namanya. Tulis beberapa keping kad nama. Ajar anak membaca namanya sambil menunjukkan dengan tangan dari kiri ke kanan. Sambil membaca namanya Ammar suka bertanya huruf -huruf yang ada. Jadi saya dapat mengajarnya mengenal huruf dalam masa yang sama. Oh ya, jangan lupa ajar dengan bunyi fonik ye. Aktiviti membaca nama ini boleh dibuat berulangkali setiap hari. Aktiviti kad nama ni sesuai dari 18 bulan lagi.





BENDERA NAMA

Bendera nama ni sesuai untuk anak usia 3 tahun. Saya lekatkan batang pembaris patah yang dah tak digunakan tu di belakang kertas dengan salotape. Jadi  Ammar boleh pegang bendera tersebut dan meletakkan bendera namanya di tempat dia bermain. Yang tak tahannya, adiknya Azzam pun turut berebut untuk memegang bendera tu. Sabar ye Azzam nanti ummi buatkan untuk adik pula, hehe.
Sambil dia pegang bendera tu ajar dia cakap "my name is...." sambil menunjukkan bendera namanya.





MENEKAP NAMA

Aktiviti seterusnya adalah menekap nama yang dah ditulis di kertas. Balut kad nama tadi dengan pembalut buku plastik, dan bagi dia tulis namanya dengan meniru tulisan kita. Gunakan whiteboard marker untuk menulis. Dalam usia 3 tahun ni Ammar belum pandai lagi menulis mengikut garisan tulisan kita. Jadi saya membantu memegang tangannya sambil menulis. Kemudian, dia menconteng sepuasnya di atas kad nama tu. Tak apa biarkan sahaja dia berkreativiti. Seronok nampaknya dia menconteng dan memadam berulangkali.





MENYALIN NAMA

Aktiviti ini sesuai bila anak dah pandai menulis, biasanya dalam usia 5 tahun. Buat masa ini Ammar belum sampai ke peringkat ini lagi.
Cara menyalin nama ini adalah dengan menulis namanya di kertas kosong, kemudian biarkan dia menulis sendiri namanya tanpa garisan titik titik. Biarkan dia menyalin secara bebas, dengan menggunakan pensel, pensel warna atau krayon.

MENULIS NAMA

Aktiviti ini sesuai untuk anak usia 6 tahun. Beri peluang anak menulis namanya sendiri. Boleh gunakan pelbagai alat tulis yang menarik dan disukai anak. Boleh juga menggunakan kertas yang berwarna warni untuk dia tulis di atasnya. Malah boleh juga menulis dengan mencelupkan jari dengan cat kemudian tulis di atas kertas. Terpulang kepada kreativiti ibu sendiri. Jangan lupa untuk kumpulkan semua hasil kreativiti anak ini untuk rekod melihat kemajuan dia menulis, dan juga sebagai kenang-kenangan.


Saat menulis nama Ammar baru terasa betapa panjang namanya. Pengajarannya, lain kali pilihlah nama yang pendek dan senang disebut. Jika nama pun panjang berbelit-belit kasihan anak sendiri pun sukar menyebut namanya. Takpe insyaallah jika ada anak seterusnya boleh saya pendekkan sikit namanya.

Kesimpulannya aktiviti ini sangat bagus kerana dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak, dan dapat membantu anak mengenali namanya sendiri. Dalam masa yang sama anak dapat belajar menulis dan berlatih menulis namanya sehingga cantik.

Tetapi jika ibu-ibu nak buat latihan khas untuk anak belajar menulis, tak perlu susah-susah potong kertas balut plastik semua. Boleh dapatkan set buku tulis dan padam dari saya. Sangat menarik, guna whiteboard marker, selepas tulis anak boleh padam balik. Memang jimat kertas dan jimat masa. Boleh tengok gambar di bawah ye. Jika berminat boleh lihat di fanpage jualan kami.



Semoga membantu =))


Monday, 9 September 2013

Attomen oh ultraman


Semalam hari minggu kami sekeluarga meluangkan masa bersiar-siar di Pulau Pinang. Sebenarnya kami memang tinggal di pulau pinang tetapi di kawasan seberang prai. Jadi bila ada kelapangan kami akan ke pulau, menaiki jambatan pulau pinang iaitu jambatan yang terpanjang di Malaysia dan antara yang terpanjang di Asia Tenggara, atau sekali sekala menaiki feri sambil menikmati keindahan panorama laut dalam. 

Tempat kesukaan suami tentunya nasi kandar Line Clear yang famous di Penang, dan kemudian menikmati pasembor di Padang Kota sambil disapa angin laut yang sepoi-sepoi bahasa. Membawa anak-anak bersiar sekali sekala ini perlu di samping mengeratkan hubungan, dapat juga meluaskan pandangan dan pengalamannya.

Ketika  melalui kawasan Bukit Jambul menuju ke Balik Pulau, kami ternampak sebuah tadika yang baru dibina. Ada dua patung ultraman yang sangat besar dalam keadaan berdiri dan duduk di kawasan tadika tersebut. Lantas kami suami isteri memberitahu ammar, anak sulung kami. "Ammar tengok tu ultraman! " Ammar terpinga-pinga sambil mencari arah yang kami tunjukkan. "Hah, atomen,.. atomen ? " Kemudian baru kami tersedar bahawa anak kami memang belum kenal apa itu ultraman.  Tak tahu bagaimana nak menerangkan kepadanya, maka kami pun mengalihkan perhatiannya kepada pemandangan lain di situ.

Ultraman, dulu sampai sekarang ultraman sangat dikenali di kalangan kanak-kanak sebagai hero yang menyelamatkan dunia dan menentang raksasa. Selain ultaman banyak lagi hero ciptaan manusia seperti superman, doraemon, dan bermacam lagi hero sebagai hidangan hiburan kanak-kanak. Jelas sekali hero-hero ini dicipta khas untuk mereka. Kenapa?? Sebab di usia kecil ini anak perlukan seorang "hero" atau ikon untuk dia minati, contohi dan ikuti. Malah sebagai pujaan mereka.  Ada yang sekadar suka-suka, dan ada juga yang betul-betul dipengaruhi oleh watak hero tersebut sehingga sanggup terjun seperti superman !

Mengingatkan peristiwa ini,terdetik di hati siapakah hero sebenar yang patut menjadi contoh tauladan dan menjadi ikutan anak-anak.  Teringat pula semasa menghadiri kursus Ajar Anak Quran anjuran Islamic Parenting Network, Pn Lina bercerita tentang kisah Sultan Muhammad Al Fateh. Semasa Sultan Muhammad Al Fateh masih bayi, ibunya sering membawanya ke sebuah sungai menghadap negara Konstantinopel sambil berkata ;

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad) “
Dan ibunya menyambung lagi, “orang tersebut adalah kamu anakku !!” 

Begitulah setiap hari ibunya berterusan mengulang  kata-kata tersebut kepada anaknya , sambil meniupkan  visi dan misi yang hebat kepada anaknya.  Maka dengan izin Allah terbuktilah hadis tersebut di tangan Sultan Muhammad Al Fateh dalam usia yang sangat muda, 21 tahun! Cuba renung balik di mana kedudukan dan apa keadaan kita dalam waktu usia tersebut.

Lihatlah betapa hebatnya peranan seorang ibu dalam membentuk karakter, membina peribadi,  dan meniupkan visi hidup kepada anaknya. Lantas tidakkah kita ingin menjadikan anak-anak kita sehebat Sultan Muhammad Al Fateh ? Jika jawapannya YA, maka  mulalah merangka dari sekarang apakah visi hidup yang ingin kita bina dalam diri anak. Jika setiap hari dihidangkan dengan gwiyomi, dengan lagu-lagu cinta asmara, agaknya karakter dan masa depan apa yang kita cipta untuk anak.  Tepuk dada tanya selera.


Jom bina visi hidup yang hebat dari sekarang. Hidup hanya sekali,  jangan biarkan hidup biasa-biasa tapi jadikannya LuarBiaSaa !!

Monday, 15 July 2013

Salam Ramadan, Bawa Anak Solat Terawih di Masjid ?

Salam Ramadhan al mubarak kepada semua umat islam. Inilah bulan pesta ibadah yang dinantikan dan dirindui oleh mereka yang beriman kepada Allah. Di bulan ini pahala diganda-gandakan maka rugilah orang yang tidak memanfaatkannya. Dikhabarkan bukan semua orang terpilih untuk menikmati bulan mulia ini. Banyak berita orang meninggal dunia sebelum tibanya Ramadhan. Berdoalah semoga kita dipanjangkan umur dan terpilih sebagai tetamu di bulan ini.

Masuk sahaja bulan Ramadhan, ibu-ibu pun tentu sibuk memikirkan masjid mana yang sesuai untuk dibawa anak kecil solat terawih. Tentu sekali di bulan ini ramai ibu bapa yang seronok membawa anak kecil berterawih di masjid. Ia seolah-olah satu pesta ibadah keluarga pula. Ada masjid dan surau yang mesra bayi, tetapi ada pula yang sebaliknya. Jadi ibu bapa perlu mencari masjid yang sesuai agar kehadiran anak-anak tidak menganggu jemaah lain yang ingin bersolat.

Saya sendiri sebagai ibu yang ada anak kecil berusia 10 bulan memilih untuk solat terawih di rumah sahaja memandangkan anak saya ini agak aktif dan suka memanjat. Jika saya ke masjid sudah tentu saya tidak khusyuk dan mungkin dia akan mengganggu jemaah lain juga. Tetapi anak sulung saya yang berusia 3 tahun pula akan mengikuti ayahnya berterawih di masjid.

Hari pertama dia berterawih bersama ayahnya, saya tertanya-tanya bagaimana keadannya. Mengingatkan tahun lepas dia agak aktif dan suka mengikut rakan-rakan yang baru dikenalinya pergi bermain sehingga kami terpaksa mencarinya. Ramadhan ini suami memilih surau di taman ini sahaja untuk terawih. Rupa-rupanya di surau taman kami ni, iaitu Surau Taman Ilmu, ada seorang pakcik yang garang memegang rotan di bahagian belakang. Dia akan berkawal di situ menjaga geng budak-budak solat. Jadi tak ada yang berani bermain dan semuanya bersolat jemaah dalam versi masing-masing. Tergelak saya mendengarnya.

Saya diberitahu di tempat lain ada juga masjid yang mesra bayi. Mereka menyediakan nurseri khas untuk anak secara percuma agar ibubapa dan jemaah lain dapat solat dengan selesa. Tetapi jika di kawasan yang tidak ada kemudahan seperti itu, ibu perlu membuat persediaan awal sebelum pergi agar anak tidak bosan dan mengganggu solat.

Antara yang boleh dibawa adalah mainan kesukaan anak (yang tidak bising dan selamat), makanan ringan atau biskut yang kurang bersepah, buku mewarna, buku membaca dan pastikan sebelum pergi pampers anak ditukar baru agar dia selesa. Ada juga ibu yang akan memberikan ipad atau tablet agar anak diam, tetapi pastikan volumenya perlahan agar tidak menganggu orang bersolat. Juga pastikan keadaan selamat kerana mungkin ada yang berniat jahat untuk mencuri. Walaupun syaitan sudah dirantai, tetapi tetap ada ramai manusia yang memilih untuk berbuat jahat.

Kemudian jika ada anak yang lebih besar, latih dia untuk menjaga adik-adiknya semasa ibunya solat. Selain itu ibu juga boleh bergilir-gilir solat terawih dengan bapa untuk menjaga anak. Kerjasama ibu dan bapa amat penting agar semua pihak akan selesa dan tidak terganggu.

Saya sendiri amat seronok melihat pelbagai keletah anak di masjid waktu terawih. Semoga amalan mengimarahkan masjid bersama keluarga ini tidak terhenti setakat bulan Ramadhan sahaja, tetapi diteruskan sepanjang masa.




Ajar Anak Membaca Sendiri atau Hantar Ke Kelas ?

Zaman sekarang ibu-ibu kebanyakannya bekerja dan mempunyai masa yang terhad di rumah. Pulang dari pejabat, terpaksa pula berkejar menyiapkan urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas rumah, memandikan anak, membasuh pakaian dan sebagainya. Kesibukan ini menyebabkan ibu tidak berpeluang meluangkan masa dengan anak-anak. Ramai ibu yang menghadapi dilema ini.

Dalam masa yang sama, mereka juga inginkan yang terbaik untuk anak. Sudah tentu mahu anak dapat membaca awal dan mencapai kecemerlangan dalam hidup mereka. Jadi pilihan yang ada hanya menghantar anak-anak ke kelas membaca atau tuisyen dengan harapan mereka akan mendapat didikan yang terbaik.

Malangnya ada anak yang turut keletihan setelah seharian di rumah pengasuh atau tadika. Jadi semasa kelas ada yang tertidur dan tidak dapat fokus semasa belajar. Saya agak kasihan melihat anak seawal 4, 5 tahun terpaksa menghabiskan masa menghadiri kelas walaupun penat. Ini menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan semasa belajar.

Menurut kajian, kanak-kanak lebih mudah belajar jika mereka dalam keadaan gembira, dan selesa dengan pengajar tersebut. Pada pandangan saya, orang yang paling dekat dan selesa buat anak adalah ibu sendiri. Jadi saya amatlah berharap agar dalam kesibukan bekerja, ibu dapat luangkan masa mengajar anak di rumah. Proses pengajaran perlu dalam keadaan santai, dan meriangkan supaya anak tidak bosan. Tak perlu lama, hanya 5-10 minit sahaja. Yang penting perlu dibuat secara konsisten setiap hari.

Apatah lagi jika ibu adalah surirumah sepenuh masa. Walaupun sibuk menguruskan urusan rumahtangga yang tak sudah-sudah, ibu perlu khaskan satu masa untuk mengajar anak. Pastikan waktu itu anak dalam keadaan selesa seperti sudah mandi dan makan. Ibu juga mestilah dalam keadaan selesa dan gembira.

Saya suka bertanya kepada pelajar yang kelihatan agak cepat membaca, adakah mereka juga selalu membaca di rumah, serta adakah ibu mereka turut mengajar membaca. Jawapan mereka adalah ibu turut mengajar di rumah, serta ibubapa menyediakan mereka persekitaran yang menyeronokkan untuk membaca seperti membeli buku-buku bacaan menarik dan membuat perpustakaan mini untuk mereka.

Tetapi jawapan adalah sebaliknya bila saya bertanya pelajar yang sedikit lambat dan selalu terlupa jika cuti beberapa hari. Jadi saya meyimpulkan, amat perlu dorongan dan rangsangan dari ibu bapa sendiri agar anak minat dan suka membaca. Tidak salah menghantar anak ke kelas membaca kerana ia turut membantu mempercepatkan lagi skil membaca dan skil sosial mereka. Tetapi pastikan ibu bapa turut merangsang mereka dari rumah agar mereka lebih gembira dan seronok belajar membaca. Jadi hasilnya mereka akan cepat membaca tanpa perlu dipaksa.

Friday, 12 July 2013

Perkembangan otak bayi semasa mengandung

Tahu tak, kita boleh rangsang anak untuk pandai membaca, mengaji dari dalam kandungan lagi !

Menurut kajian sains, penghasilan sel otak (neuron) bermula daripada persenyawaan sehingga kandungan berumur 10 minggu pada kadar yang begitu pesat. Sepanjang masa ini, otak fetus menghasilkan 250,000 neuron setiap minit berdasarkan fakta daripada Fetal Development: What Happens During The First Trimester (www.mayoclinic.com) .

Apabila kandungan berumur 20 minggu, lebih 200 billion neurons telah dihasilkan. Ini adalah peringkat pertama pertumbuhan otak. Oleh itu penting untuk kita mengamalkan pemakanan yang kaya dengan protin untuk membantu penghasilan sel otak dengan pesat.

Pada peringkat kedua pertumbuhan otak, (umur fetus 5 bulan ke atas), sel-sel otak ini mula berkomunikasi di antara satu sama lain, membentuk jaringan synapses, apabila menerima rangsangan semasa dalam kandungan. Lebih banyak jaringan maka lebih cerdiklah bayi itu. Oleh sebab itu, adalah penting kita merangsang bayi semasa dalam kandungan lagi untuk pertumbuhan sel otak sebagaimana menurut Dr Susan Ludington-Hoe, pengasas Infant Stimulation Programme.

Tambahan pula, bayi dalam kandungan mula mendengar dan merasa pergerakan bermula umur 5 bulan dan membuka mata pada umur 7 bulan. Bayi dalam kandungan juga lebih peka kepada rangsangan pada waktu malam di antara pukul 8 hingga 12 malam (waktu paling baik untuk merangsang bayi).


**Artikel ini dipetik dari buku Ajar Anak Kecil Membaca Awal tulisan Puan Nik Eliani Nik Nawi. Jika berminat mendapatkan buku tersebut boleh hubungi saya di puan.norainidollah@gmail.com. Terima kasih.