Kenapa perlu anak kenal dan tahu tulis nama sendiri?
1. Anak akan seronok kerana tahu menulis sendiri nama mereka.
2. Sangat membantu cikgu di sekolah atau tadika
3. Sebagai pengenalan diri kepada anak di mana-mana.
4. Menambahkan keyakinan diri anak.
Aktiviti menulis nama ini boleh dibuat bersama-sama anak. Tetapi jika dikhuatiri anak mengganggu dan bermain gunting yang tajam, bolehlah dibuat semasa anak tidur. Peralatan yang diperlukan adalah kayu/ straw atau apa-apa yang boleh dijadikan pemegang bendera nama. Saya menggunakan pembaris jahitan yang dah patah, hehe. Kemudian marker pen, gunting, dan salotape untuk mencantum.
KAD NAMA
Pertama sekali adalah membuat kad nama. Kad nama ini untuk ditampal di dinding atau di mana-mana yang sesuai. Saya meletakkan kad nama Ammar di peti sejuk kerana dia sangat suka membuka peti sejuk, jadi dia akan lebih kerap membaca namanya. Tulis beberapa keping kad nama. Ajar anak membaca namanya sambil menunjukkan dengan tangan dari kiri ke kanan. Sambil membaca namanya Ammar suka bertanya huruf -huruf yang ada. Jadi saya dapat mengajarnya mengenal huruf dalam masa yang sama. Oh ya, jangan lupa ajar dengan bunyi fonik ye. Aktiviti membaca nama ini boleh dibuat berulangkali setiap hari. Aktiviti kad nama ni sesuai dari 18 bulan lagi.
BENDERA NAMA
Bendera nama ni sesuai untuk anak usia 3 tahun. Saya lekatkan batang pembaris patah yang dah tak digunakan tu di belakang kertas dengan salotape. Jadi Ammar boleh pegang bendera tersebut dan meletakkan bendera namanya di tempat dia bermain. Yang tak tahannya, adiknya Azzam pun turut berebut untuk memegang bendera tu. Sabar ye Azzam nanti ummi buatkan untuk adik pula, hehe.
Sambil dia pegang bendera tu ajar dia cakap "my name is...." sambil menunjukkan bendera namanya.
MENEKAP NAMA
Aktiviti seterusnya adalah menekap nama yang dah ditulis di kertas. Balut kad nama tadi dengan pembalut buku plastik, dan bagi dia tulis namanya dengan meniru tulisan kita. Gunakan whiteboard marker untuk menulis. Dalam usia 3 tahun ni Ammar belum pandai lagi menulis mengikut garisan tulisan kita. Jadi saya membantu memegang tangannya sambil menulis. Kemudian, dia menconteng sepuasnya di atas kad nama tu. Tak apa biarkan sahaja dia berkreativiti. Seronok nampaknya dia menconteng dan memadam berulangkali.
MENYALIN NAMA
Aktiviti ini sesuai bila anak dah pandai menulis, biasanya dalam usia 5 tahun. Buat masa ini Ammar belum sampai ke peringkat ini lagi.
Cara menyalin nama ini adalah dengan menulis namanya di kertas kosong, kemudian biarkan dia menulis sendiri namanya tanpa garisan titik titik. Biarkan dia menyalin secara bebas, dengan menggunakan pensel, pensel warna atau krayon.
MENULIS NAMA
Aktiviti ini sesuai untuk anak usia 6 tahun. Beri peluang anak menulis namanya sendiri. Boleh gunakan pelbagai alat tulis yang menarik dan disukai anak. Boleh juga menggunakan kertas yang berwarna warni untuk dia tulis di atasnya. Malah boleh juga menulis dengan mencelupkan jari dengan cat kemudian tulis di atas kertas. Terpulang kepada kreativiti ibu sendiri. Jangan lupa untuk kumpulkan semua hasil kreativiti anak ini untuk rekod melihat kemajuan dia menulis, dan juga sebagai kenang-kenangan.
Saat menulis nama Ammar baru terasa betapa panjang namanya. Pengajarannya, lain kali pilihlah nama yang pendek dan senang disebut. Jika nama pun panjang berbelit-belit kasihan anak sendiri pun sukar menyebut namanya. Takpe insyaallah jika ada anak seterusnya boleh saya pendekkan sikit namanya.
Kesimpulannya aktiviti ini sangat bagus kerana dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak, dan dapat membantu anak mengenali namanya sendiri. Dalam masa yang sama anak dapat belajar menulis dan berlatih menulis namanya sehingga cantik.
Tetapi jika ibu-ibu nak buat latihan khas untuk anak belajar menulis, tak perlu susah-susah potong kertas balut plastik semua. Boleh dapatkan set buku tulis dan padam dari saya. Sangat menarik, guna whiteboard marker, selepas tulis anak boleh padam balik. Memang jimat kertas dan jimat masa. Boleh tengok gambar di bawah ye. Jika berminat boleh lihat di fanpage jualan kami.
Semoga membantu =))
No comments:
Post a Comment