Semalam hari minggu kami sekeluarga meluangkan masa
bersiar-siar di Pulau Pinang. Sebenarnya kami memang tinggal di pulau pinang
tetapi di kawasan seberang prai. Jadi bila ada kelapangan kami akan ke pulau,
menaiki jambatan pulau pinang iaitu jambatan yang terpanjang di Malaysia dan
antara yang terpanjang di Asia Tenggara, atau sekali sekala menaiki feri sambil
menikmati keindahan panorama laut dalam.
Tempat kesukaan suami tentunya nasi
kandar Line Clear yang famous di Penang, dan kemudian menikmati pasembor di
Padang Kota sambil disapa angin laut yang sepoi-sepoi bahasa. Membawa anak-anak
bersiar sekali sekala ini perlu di samping mengeratkan hubungan, dapat juga
meluaskan pandangan dan pengalamannya.
Ketika melalui
kawasan Bukit Jambul menuju ke Balik Pulau, kami ternampak sebuah tadika yang
baru dibina. Ada dua patung ultraman yang sangat besar dalam keadaan berdiri
dan duduk di kawasan tadika tersebut. Lantas kami suami isteri memberitahu
ammar, anak sulung kami. "Ammar tengok tu ultraman! " Ammar
terpinga-pinga sambil mencari arah yang kami tunjukkan. "Hah, atomen,..
atomen ? " Kemudian baru kami tersedar bahawa anak kami memang belum kenal
apa itu ultraman. Tak tahu bagaimana nak
menerangkan kepadanya, maka kami pun mengalihkan perhatiannya kepada
pemandangan lain di situ.
Ultraman, dulu sampai sekarang ultraman sangat dikenali di
kalangan kanak-kanak sebagai hero yang menyelamatkan dunia dan menentang
raksasa. Selain ultaman banyak lagi hero ciptaan manusia seperti superman,
doraemon, dan bermacam lagi hero sebagai hidangan hiburan kanak-kanak. Jelas
sekali hero-hero ini dicipta khas untuk mereka. Kenapa?? Sebab di usia kecil
ini anak perlukan seorang "hero" atau ikon untuk dia minati, contohi
dan ikuti. Malah sebagai pujaan mereka. Ada yang sekadar suka-suka, dan ada juga yang
betul-betul dipengaruhi oleh watak hero tersebut sehingga sanggup terjun
seperti superman !
Mengingatkan peristiwa ini,terdetik di hati siapakah hero
sebenar yang patut menjadi contoh tauladan dan menjadi ikutan anak-anak. Teringat pula semasa menghadiri kursus Ajar
Anak Quran anjuran Islamic Parenting Network, Pn Lina bercerita tentang kisah
Sultan Muhammad Al Fateh. Semasa Sultan Muhammad Al Fateh masih bayi, ibunya sering
membawanya ke sebuah sungai menghadap negara Konstantinopel sambil berkata ;
“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan
tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik
tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad) “
Dan ibunya menyambung lagi, “orang tersebut adalah kamu anakku
!!”
Begitulah setiap hari ibunya berterusan mengulang kata-kata tersebut kepada anaknya , sambil meniupkan
visi dan misi yang hebat kepada
anaknya. Maka dengan izin Allah terbuktilah
hadis tersebut di tangan Sultan Muhammad Al Fateh dalam usia yang sangat muda,
21 tahun! Cuba renung balik di mana kedudukan dan apa keadaan kita dalam waktu
usia tersebut.
Lihatlah betapa hebatnya peranan seorang ibu dalam membentuk
karakter, membina peribadi, dan meniupkan
visi hidup kepada anaknya. Lantas tidakkah kita ingin menjadikan anak-anak kita
sehebat Sultan Muhammad Al Fateh ? Jika jawapannya YA, maka mulalah merangka dari sekarang apakah visi
hidup yang ingin kita bina dalam diri anak. Jika setiap hari dihidangkan dengan
gwiyomi, dengan lagu-lagu cinta asmara, agaknya karakter dan masa depan apa yang
kita cipta untuk anak. Tepuk dada tanya
selera.
Jom bina visi hidup yang hebat dari sekarang. Hidup hanya
sekali, jangan biarkan hidup biasa-biasa
tapi jadikannya LuarBiaSaa !!
No comments:
Post a Comment