Pages

Monday, 15 July 2013

Salam Ramadan, Bawa Anak Solat Terawih di Masjid ?

Salam Ramadhan al mubarak kepada semua umat islam. Inilah bulan pesta ibadah yang dinantikan dan dirindui oleh mereka yang beriman kepada Allah. Di bulan ini pahala diganda-gandakan maka rugilah orang yang tidak memanfaatkannya. Dikhabarkan bukan semua orang terpilih untuk menikmati bulan mulia ini. Banyak berita orang meninggal dunia sebelum tibanya Ramadhan. Berdoalah semoga kita dipanjangkan umur dan terpilih sebagai tetamu di bulan ini.

Masuk sahaja bulan Ramadhan, ibu-ibu pun tentu sibuk memikirkan masjid mana yang sesuai untuk dibawa anak kecil solat terawih. Tentu sekali di bulan ini ramai ibu bapa yang seronok membawa anak kecil berterawih di masjid. Ia seolah-olah satu pesta ibadah keluarga pula. Ada masjid dan surau yang mesra bayi, tetapi ada pula yang sebaliknya. Jadi ibu bapa perlu mencari masjid yang sesuai agar kehadiran anak-anak tidak menganggu jemaah lain yang ingin bersolat.

Saya sendiri sebagai ibu yang ada anak kecil berusia 10 bulan memilih untuk solat terawih di rumah sahaja memandangkan anak saya ini agak aktif dan suka memanjat. Jika saya ke masjid sudah tentu saya tidak khusyuk dan mungkin dia akan mengganggu jemaah lain juga. Tetapi anak sulung saya yang berusia 3 tahun pula akan mengikuti ayahnya berterawih di masjid.

Hari pertama dia berterawih bersama ayahnya, saya tertanya-tanya bagaimana keadannya. Mengingatkan tahun lepas dia agak aktif dan suka mengikut rakan-rakan yang baru dikenalinya pergi bermain sehingga kami terpaksa mencarinya. Ramadhan ini suami memilih surau di taman ini sahaja untuk terawih. Rupa-rupanya di surau taman kami ni, iaitu Surau Taman Ilmu, ada seorang pakcik yang garang memegang rotan di bahagian belakang. Dia akan berkawal di situ menjaga geng budak-budak solat. Jadi tak ada yang berani bermain dan semuanya bersolat jemaah dalam versi masing-masing. Tergelak saya mendengarnya.

Saya diberitahu di tempat lain ada juga masjid yang mesra bayi. Mereka menyediakan nurseri khas untuk anak secara percuma agar ibubapa dan jemaah lain dapat solat dengan selesa. Tetapi jika di kawasan yang tidak ada kemudahan seperti itu, ibu perlu membuat persediaan awal sebelum pergi agar anak tidak bosan dan mengganggu solat.

Antara yang boleh dibawa adalah mainan kesukaan anak (yang tidak bising dan selamat), makanan ringan atau biskut yang kurang bersepah, buku mewarna, buku membaca dan pastikan sebelum pergi pampers anak ditukar baru agar dia selesa. Ada juga ibu yang akan memberikan ipad atau tablet agar anak diam, tetapi pastikan volumenya perlahan agar tidak menganggu orang bersolat. Juga pastikan keadaan selamat kerana mungkin ada yang berniat jahat untuk mencuri. Walaupun syaitan sudah dirantai, tetapi tetap ada ramai manusia yang memilih untuk berbuat jahat.

Kemudian jika ada anak yang lebih besar, latih dia untuk menjaga adik-adiknya semasa ibunya solat. Selain itu ibu juga boleh bergilir-gilir solat terawih dengan bapa untuk menjaga anak. Kerjasama ibu dan bapa amat penting agar semua pihak akan selesa dan tidak terganggu.

Saya sendiri amat seronok melihat pelbagai keletah anak di masjid waktu terawih. Semoga amalan mengimarahkan masjid bersama keluarga ini tidak terhenti setakat bulan Ramadhan sahaja, tetapi diteruskan sepanjang masa.




No comments:

Post a Comment