Hujung minggu begini hari yang sesuai untuk aktiviti keluarga. Tetapi disebabkan suami saya ada urusan kerja, maka kami pun beraktiviti bebaslah di rumah. Sementara anak-anak sibuk bermain, saya terjumpa buku yang dipinjamkan kawan saya sewaktu mengandung anak pertama dahulu. Dah lama dipinjamkan nampaknya kena cepat-cepat pulangkan. Sebelum itu saya belek-belek dan terjumpa bab terakhir buku ini bertajuk 'Menggalak Anak Membaca'. Jadi saya kongsikan kandungan bab buku itu di blog ini agar dapat menjadi panduan apabila buku itu dipulangkan nanti.
|
Buku ini dicetak pada 1996. dah lama.. |
Ramai ibubapa mahu anak mereka pandai tetapi tidak pula menyediakan asas untuknya menuju ke arah tersebut. Anak adalah sumber insan yang perlu dibangunkan potensinya ke tahap yang optimum supaya menjadi individu berguna kepada keluarga, agama dan negara.
Bagaimana Menggalakkan Anak Membaca ?
Umur 1 hingga 5 tahun adalah lingkungan umur yang sangat penting bagi kanak-kanak. Hampir 80% perkembangan intelek kanak-kanak berlaku dalam lingkungan umur ini. Amat penting sekali minat membaca disemaikan seawal mungkin.
1. Anak-anak suka sekali mendengar kata-kata indah seperti pantun, nyanyian, puisi, syair. Masa yang sesuai diperdengarkan ialah semasa bermain dan menidurkan.
2. Anak-anak sukakan buku berwarna-warni dengan gambar binatang dan lain-lain. Carilah buku-buku yang cantik, tahan kotor, kulit tebal, supaya tidak mudah koyak.
3. Buku-buku sesuai diberikan apabila anak-anak sudah bersedia memegang buku iaitu berumur satu tahun ke atas.
4. Bagi kanak-kanak dua tahun ke bawah, selain dari buku-buku bergambar, sesuai ditunjukkan flashcard dengan gambar-gambar. Ibu bacakan gambar-gambar dan buat ujian terhadap daya ingatan mereka. Poster-poster juga sesuai.
5. Buku-buku hendaklah mempunyai gambar-gambar yang jelas menunjukkan benda atau bentuk yang dimaksudkan. Seelok-eloknya gambar benda-benda yang biasa dilihat.
6. Cara membaca bersama anak ialah dengan memangku anak-anak anda dan buka halaman demi halaman, sambil menunjukkan gambar.
7. Gunakan suara yang terang dan jelas mengikut sebutan yang betul-gunakan bahasa baku, bukan bahasa pelat.
8. Peringkat ini bukannya hendak mengajar membaca, yang penting ialah mengenali bentuk buku, cara memegang buku dan menyayangi buku.
9. Apabila anak berumur tiga tahun ke atas, ibubapa boleh mengajar anak memegang pensel atau menulis dan membaca buku cerita bergambar.
Peranan ibubapa sebagai 'pendorong pembacaan' wajar diterima dengan hati yang terbuka dan bertanggungjawab. Iaitu tanggungjawab menerapkan ilmu pengetahuan dengan membaca. Sedangkan ayat al quran yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah Al-Iqra (Bacalah).
Beberapa langkah yang boleh diambil ibubapa untuk mendorong anak membaca bersambung
di sini.