Pages

Monday 28 April 2014

Pisang ada di syurga

Pisang lemak manis. Gambar ihsan google.
Buah pisang ada di syurga. Alkisahnya..

Anak sulung saya Ammar ni memang memilih makanan. Jika disuap nasi dan dikesan ada sayuran dalam mulut dia, dia akan terus muntahkan balik nasi tu. Memang penatlah nak pujuk dia makan sayur dan buat helah supaya dia tak perasan kehadiran sayur tu.

Begitu juga dengan buah. Jika dahulu dia akan makan tembikai, tetapi kini hanya dijelingnya sahaja. Memang sikap suka memilihnya ini daripada lahir lagi. Bayangkan dari usia sehari dua tu dia suka minum susu sebelah sahaja sampaikan saya hampir demam bengkak susu. Sangat berbeza dengan adiknya yang minum kedua-dua belah dan tidak kisah disuap apa pun semua ditelannya. Perangai pun sangat berbeza, abangnya lebih pendiam semasa kecil sedangkan adiknya sangat aktif dan suka menyakat. Sangat menguji kesabaran ;-)

Kebetulan pergi ke pasar, ternampak pisang lemak manis yang sedap lalu saya membelinya. Lagipun pisang sangat bagus kerana mempunyai banyak khasiat kepada tubuh. Pisang mengandungi tenaga, vitamin A, serat, vitamin C dan kalsium. Pisang juga mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi 3 jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa. Gula semulajadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Kajian lain juga menunjukkan pisang mempunyai magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat. Wah banyaknya khasiat pisang ini rupanya. Memang kena jadi buah yang wajib ada di rumah.

Jadi saya nak ammar makan pisang, tetapi dia seperti biasa menolak. Lalu saya terus memberitahu bahawa buah pisang ada di syurga.

Ummi: Ammar tau tak, buah pisang ni ada kat syurga. Banyakk. 
Ammar: Oh yeke. Nanti Ammar nak masuk syurga. Ada coklat, lori mainan ammar, bla bla bla besttt
Ummi: Ok nah makan pisang ni dulu.

Apalagi terus dimakannya sampai 3 biji pisang lemak manis tu. Tetapi teknik ini hanya untuk sekali sahaja biasanya. Esok kena gunakan teknik lain pula untuk pujuk dia makan buah. Begitulah cabarannya nak memberi anak makanan yang berkhasiat ni. Adiknya pula tak perlu nak pujuk, nampak sahaja buah pisang di tangan terus datang menganga :-)

Begitulah alkisahnya anak saya dan buah pisang.

petikan dari surah al waqiah , ayat ke 29

doakan kita semua menjadi golongan kanan tu. Nak tahu ciri-ciri golongan kanan kena buka surah al waqiah ;-)



Sunday 27 April 2014

Kuasa Al Quran dalam menyerap ilmu lain

Kuasa Al-Quran dalam Menyerap Ilmu Lain Pada Kanak-Kanak

Saya telah melihatnya.. Saya telah mengalaminya..



Kebanyakkan ibubapa, takut anak tertinggal di belakang bila dia masuk ke sekolah nanti, maka sejak dari bayi lagi, kita mula nak kenalkan ABC dan 123.. Kita mula memenuhkan tempat bermainnya dengan educational toys untuk tujuan memperkenalkan huruf dan abjad. Kalau ibu dan bapa bekerja, maka toys berjenama mahal lah yang dibeli. Jika seorang sahaja, maka jenama biasa-biasa sahajalah tetapi tetap ada. Kita berkata dalam hati, al Quran itu 'nanti-nanti' pun boleh. Lagipun.. mana ada ujian al Quran bila dia masuk sekolah rendah nanti. Dah besar sikit, hantar sahaja mengaji dengan ustaz/ustazah di belakang rumah tu. Itu mentaliti ibu-ibu yang seangkatan dengan zaman saya dahulu. Rakan-rakan saya semuanya begitu. Alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya mereka ada inisiatif untuk mengajar anak mereka dari kecil berbanding dengan ibu-ibu zaman 'ibu saya' yang tidak terfikir tentang pendidikan awal bayi. Apapun.. besar panjang juga kita-kita ini.

Zaman telah berubah, kita tidak boleh melakukan perkara yang sama. Tetapi ada satu yang tidak patut untuk berubah. Iaitu.. mengajar al Quran dari bayi mengikut contoh ibu-ibu zaman kegemilangan Islam dahulu. Saya telah rasa dan mengalaminya.. Alangkah baiknya jika semua orang tahu akan kuasa al Quran pada anak mereka jika ianya diajar dari bayi lagi. Terus terang saya katakan keutamaan yang saya letakkan pada anak saya adalah menentang arus dari keutamaan ibubapa sekarang yang mahu anak 'excel' dalam persekolahan mereka terutamanya.

Saya mengajar al Quran dahulu.. yang lain saya kemudiankan. Umur anak-anak saya mahu menginjak hampir 5 tahun baru saya mula mengajar membaca dan mengira. Itupun setelah berfikir.. apa salahnya ajar samping-sampingan. Oleh kerana sudah niat dihati ia diajar 'samping-sampingan' maka tidaklah saya konsisten. Apa keputusannya? Kedua-dua anak saya sudah pandai membaca bahasa Inggeris. Darwisya pula sudah peringkat boleh membaca Science Encyclopedia dalam Bahasa Inggeris. Matematik.. keduanya boleh melakukan operasi matematik yang lebih rumit jika dibandingkan peringkat umur mereka. Saya kata lebih rumit dari umur mereka kerana saya telah melihat buku teks darjah 1 dan darjah 2 anak buah saya. 

Maka saranan saya, bagi mereka yang punya anak kecil, mulakan dengan al quran. Ada juga pembaca blog ini yang anak mereka telah dewasa dan jika manalah tahu satu hari Allah kurniakan seorang anak kecil lagi, cubalah ajar yang si kecil comel itu al quran. Kita akan lihat perbezaan dia dengan anak-anak yang besar tadi. Dia akan lebih terang hati menerima pelajaran lain. 

Sumber : Islamic parenting network coretan Puan Lina Karim
nota ini disalin semula untuk koleksi peribadi saya sebagai panduan didikan anak =)

Saturday 26 April 2014

Tips supaya anak tidur awal secara rutin

Tips supaya anak tidur awal secara rutin

Tips ini saya dah lupa dari mana sumber asalnya, tetapi saya save di file khas untuk rujukan. Kini saya kongsikan di blog khas untuk perkongsian dengan ibu-ibu yang mungkin memerlukannya dan panduan saya sendiri. 

Memastikan anak tidur awal sangat penting terutama apabila anak sudah bersekolah. Tidur awal dan cukup akan membantu badannya mendapat rehat yang cukup, jadi anak akan lebih fokus di dalam kelas dan emosinya akan lebih stabil berbanding jika tidak cukup tidur.



Langkah-langkahnya merutinkan tidur anak ialah:

1.Tetapkan waktu tidur pukul berapa...ianya mestilah masa yang sama setiap hari.
2.Hentikan aktiviti/permainan anak 30 minit sebelum waktu tidur yang telah ditetapkan.
3.Suramkan lampu bilik anak anda.
4.Mandi, gosok gigi, baca buku atau bercerita ringkas setiap kali sebelum tidur adalah 'clue' bagi anak anda bahawa selepas itu dia perlu tidur.
5.Puji anak anda keesokan paginya kerana mematuhi waktu tidur.

Rutin di atas hendaklah dimulakan sejak anak memasuki peringkat 'toddler' (merangkak dan mula hendak bermain sendiri).

Jika anak mengalami masalah/gangguan ketika hendak tidur, amalkan :
Surah Al-fatihah dan Ayatul Kursi sekali, dihembus ke seluruh badan anak.
Surah 3 Qul, hembus ke tapak tangan anda, kemudian usap tubuh anak (3kali berturut-turut) .

Lebih baik diamalkan sebelum tidur setiap malam, termasuk doa hendak tidur dan bangun tidur di waktu pagi.

Bagaimanapun mungkin lain orang lain caranya. Saya pasti ramai ibu-ibu lain
yang berjaya tidurkan anak awal dengan cara yang tersendiri. Jika sudi bolehlah kongsikan caranya ye! :-)

5 FORMULA UNTUK AJAR ANAK MEMBACA SENDIRI DI RUMAH

Saya kongsikan 5 formula dari Puan Rohaya Binti Shahibudin, yang pakar dalam membantu menyelesaikan masalah ibubapa untuk mengajar anak-anak mereka sendiri di rumah supaya cepat membaca :

Formula pertama:

Sediakan suasana pembelajaran yang selesa di tempat belajar. Maksud saya kemas dan bersih. Yang utamanya, Jangan ada sebarang permainan di kawasan tersebut.

woah bestnya confirm anak semangat nak belajar !


Formula kedua:

Tengok mood anak-anak. Pastikan dia tenang dan boleh beri tumpuan. Pastikan dia telah makan dan tidur. Agar dia boleh beri tumpuan sewajarnya waktu kita hendak kenalkan huruf.

Formula ketiga:

Jangan lebih dari 5 minit untuk mengajarnya kerana kanak-kanak , jenis kinestatik dan cepat bosan. Lepas beberapa minit ajar lagi dia.

Formula ke4:

Satu bunyi (kita guna phonic) untuk satu hari. Contoh b. So hari tu just cerita pasal 'b' je.... Ini semua untuk dia lebih kenal b n bunyinye. If kat tadika saya 'b' tu diajar selama seminggu dengan pelbagai methord.

Formula ke 5:


Kenalkan huruf kecil dahulu peringkat awal. Selepas itu ajar tulis huruf kecil dahulu. Di tadika saya bila umur 6 tahun baru saya ajar huruf besar. Ini agar tak mengelirukan pelajar. Lagi pun huruf kecil yang banyak digunakan dalam sesuatu ayat. Buat pengetahuan, kanak-kanak mesti diajar satu persatu. Bila dia sudah mahir baru pindah ke tajuk lain

Tips yang sangat menarik dan mudah buat ibu-ibu. Jom ajar anak membaca dengan set fonik di sini 

Air doa penawar untuk anak

Saya kongsikan di blog ini cara untuk membuat air doa penawar untuk anak. 
Saya merasakan semua ibu perlu tahu dan cuba buat sendiri untuk anak. Tak perlu bagi air kat ustaz-ustaz untuk dibacakan doa kerana kita sebagai ibu boleh buat sendiri malah doa ibu jauh lebih makbul. Ibarat kata-kata ustazah di tv9 yang saya dengar (lupa namanya) , doa seorang ibu buat anaknya ibarat doa nabi kepada umatnya. Masyaallah jangan sia-siakan peluang untuk mendoakan anak kita duhai ibu. Ini perkongsian cara ustazah Norhafizah Musa bagaimana untuk membuat air doa penawar untuk anak.

gambar ihsan google, ibu sedang berdoa.


Assalamua'laikumwarahmatullah..

Insyaallah, mudah-mudahan sebagai jalan ikhtiar, mari kita buat air penawar sendiri, untuk apa jua niat yang baik-baik, khususnya untuk kesihatan/ kecerdasan mental, fizikal, emosi dan kesucian diri zahir dan batin. Amalan ini ustazah rujuk dalam kitab ‘Dua’ al-solihin’ ( doa orang-orang soleh), karangan Syeikh Abi al-Fida’ Muhammad ‘Izzat A’rief, dekan pusat pengajian arab untuk perubatan cara Nabi dan herba Asia Barat. Alhamdulillah, dengan niat yang suci, keyakinan kita kepada Allah dan berkat ayat-ayat al-Quran, mudah-mudahan sangat mustajab.

Caranya: Baca ayat2 ini dan hembuskan pada air minuman yang bersih.

1. Surah al-Fatihah : 17 X
2. Ayat Kursiy : 17 X
3. Surah al-Ikhlas : 17 X
4. Surah al-Hasyru, ayat 21-24 : 17 X

Sebaiknya air penawar ini kita minum 3 hari berturut-turut tanpa minum air jenis lain. Insyaalah, kita berusaha, Allah jua yang Memustajabkan. Kadang-kadang ustazah doa dulu sebelum bagi anak-anak minum:

" Ya Allah...aku ibu yang lemah, banyak khilaf dan salah. Aku mohon keampunanMu ya Allah, atas setiap rezeki yang telah ku suap ke dalam mulut anak-anakku hingga menjadi darah daging mereka. Barangkali, ada yang tidak jelas ( syubhah), ada yang kotor, ada yang tidak berkhasiat untuk tubuh badan dan akal fikiran mereka. Ampnkan aku Ya Allah, aku bermohon agar Engkau sucikan tubuh badan mereka dari segala yang memberi mudarat, berikan mereka kesihatan yang terbaik, kecerdasan dan kefahaman dalam segala urusan agama, kekuatan hafazan dan segala yang terbaik untuk mereka."

Sama-sama ya , kita doa agar anak2 kita menjadi hamba Allah yang soleh, tidak tertimpa musibah pada agama mereka.

Wallahua'lam.

Ustazah Norhafizah Musa

***Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua ye. Saya teringat kecik-kecik dulu arwah datuk saya mengajar al quran dan selalu dijemput mengajar di mana-mana. Selalu sahaja nampak orang datang bawa botol air besar-besar ke rumahnya dan minta arwah datuk saya bacakan doa untuk penerang hati anak-anak mereka. Terutama sekali bila musim peperiksaan maka lagi ramailah yang datang minta dibuat air doa untuk anak mudah menjawab soalan peperiksaan. Mereka akan tinggalkan botol air tu dan atuk saya akan bacakan doa semasa setiap kali solat. Dia buat dengan ikhlas sahaja tanpa minta bayaran, tetapi kadang-kadang ada juga yang bagi buah tangan tanda terima kasih.

Kemudian semasa saya bersekolah, ibu saya mula buatkan air doa untuk saya dan adik-adik yang masih bersekolah. Berbotol-botol air ibu saya letakkan di tempat solat dan banyaklah doa yang dibacakannya selepas solat. Alhamdulillah air-air itulah yang menjadi minuman kami dan mendarah daging. Syukur pada Allah yang mnegurniakan ibu yang sentiasa mendoakan anak-anaknya.

Ibu-ibu semua buatlah untuk anak sendiri air doa ni dari anak kecil lagi ye. Tak perlu minta ustaz tersohor pun, bukannya diorang kenal anak kita. Kita sebagai ibu lah yang lagi kenal anak dan pastinya akan berdoa dengan penuh kasih sayang. Moga-moga anak-anak kita sentiasa dipelihara Allah swt terutama di zaman yang sangat mencabar dan penuh godaan ini.



Sudahkah anak bersedia untuk belajar membaca ?

Sudahkah anak anda bersedia untuk belajar membaca? 



Anak-anak yang diberi rangsangan yang sesuai akan bersedia untuk belajar membaca seawal usia 3 tahun. Bagaimanapun, apakah kaedah yang sesuai dengan anak-anak anda? Kaedah mengeja? Jangan. Kaedah suku kata? Tidak juga. Gunakanlah kaedah fonetik.

Mengapa? Kaedah fonetik adalah kaedah yang paling sesuai dengan kanak-kanak kerana kaedah ini telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah otak manusia membaca. Kajian telah menunjukkan bahawa otak membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat kepada bunyi-bunyi, lalu otak membunyikan huruf-huruf yang dilihat bagi menyebut atau membaca perkataan itu. Kaedah lain bukan sahaja tidak sesuai untuk kanak-kanak bahkan menyusahkan mereka, lambat, mengelirukan dan membebankan memori.

Ada beberapa perkara JANGAN yang perlu ibu bapa tahu supaya tidak menyusahkan anak-anak apabila mengajar membaca.

1. JANGAN ajar nama-nama huruf contohnya ‘ei’ untuk huruf ‘a’, ‘bi’ untuk huruf ‘b’ dan seterusnya kerana anak-anak yang tahu nama-nama huruf tidak semestinya dapat membaca. Bahkan mengajar mengenal nama huruf a, b, c adalah halangan pertama membaca.

2. JANGAN ajar anak mengeja-eja huruf pada perkataan-perkataan yang dilihat kerana mengeja melibatkan dua proses iaitu menyebut nama huruf dan membatang pola-pola ejaan.

3. JANGAN ajar anak mengenal bunyi huruf sambil mengenalkan nama huruf sekaligus, contohnya seperti menyebut ‘ei’ (huruf ‘a’) bunyinya ‘a’ kerana anak tidak perlu tahu nama huruf untuk membaca.

4. JANGAN ajar anak menghafal mana-mana suku kata atau perkataan apabila mula mengenal perkataan kerana kanak-kanak akan terbeban dengan ratusan pola-pola ejaan yang menyukarkan.

5. JANGAN ajar huruf-huruf besar dahulu kepada kanak-kanak kerana huruf besar tidak penting kepada kanak-kanak pada peringkat awal.

Jadi apakah yang BOLEH dalam mengajar anak membaca mengikut kaedah fonetik? Membaca mengikut kaedah fonetik melibatkan proses awal berikut; Memperkenalkan bunyi secara sistematik

1. anak-anak perlu tahu bunyi huruf – iaitu dapat menyebut bunyi dan ingat bunyi huruf yang diajarkan
2. anak-anak perlu kenal huruf – iaitu bentuk, rupa dan cara tulis huruf tersebut
3. anak-anak dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang berkaitan.


(sumber: readnetwork.com)

Amalan supaya anak tidak degil

AMALAN SUPAYA ANAK TIDAK DEGIL (sesuai juga utk org yg rapat dgn kita spt isteri @ suami)

1. Semasa anak, isteri @ suami kita sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya diwaktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya (subconscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).

2. Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun-ubun orang yang ingin anda nasihati.

3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhammad dan bacalah surah al fatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda.

4. Angkat ibu jari anda, kalau boleh janganlah diputuskan zikir didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya nasihatinya agar tidak selalu melewatkan solat, banyakkan berselawat, banyak bersabar. Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda.

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insyallah anda berjaya dengan kaedah ini dengan pertolongan Allah SWT.

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. "Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu Hanifah "saya didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan". Kalau didengar pernyataan ini tentu aneh bagi kita bukan. Bagaimana mungkin manusia yang belum dilahirkan sudah dididik. Namun apa yang ingin disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah) ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga sudah dididik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak dari kandungan lagi.



*Mengikut logik akal, acuan yang bulat mana mungkin menghasilkan kuih segiempat. Begitu juga dengan anak dan isteri kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita sendiri.


Sumber dari Portal Muslimah: hanan.com

Sekiranya ibu bapa tahu

Sekiranya ibu bapa tahu..

Sekiranya ibu bapa tahu tentang tahap-tahap pembangunan otak anak dari masa ia berada di dalam rahim ibunya....

Sekiranya ibu bapa tahu bahawa 40%-70% sel otak anak di dalam rahim akan pupus jika tidak digunakan....



Sekiranya ibubapa tahu pentingnya Vitamin C, EPO, B kompleks, Zat galian, minyak ikan dan lecithin....

Sekiranya ibu bapa tahu bahawa anak mampu bertutur dalam 3-4 bahasa pada usia 3 tahun....

Sekiranya ibu bapa tahu bahawa anak berusia 2-3 bulan sudah mula membaca (dengan hanya melihat & mendengar)....

Sekiranya ibu bapa tahu bahawa otak anak akan terencat jika ia tidur telentang....

Sekiranya ibu bapa tahu bahawa anak boleh menghafal 50-60 surah pada usia 4-5 tahun....

Sekiranya ibu bapa tahu tentang keagungan budi pekerti, kesabaran dan tawakal ....

Maka lebih ramai anak-anak kita akan memperolehi kesihatan, kewibawaan dan intelek yang amat tinggi!


~ Mansor Haji Sukaimi ( pengasas NURY)

***Masyaallah.. info ni saya dapat daripada perkongsian sahabat. Tepat sekali apa yang diperkatakan. Uisa anak 0-6 tahun merupakan usia emas yang tak mungkin dapat kembali. Sangat rugi jika mensia-siakan masa emas mereka ini. 


Saturday 12 April 2014

Cukup ke air yang anak kita minum?

Adakah anak kita minum air yang cukup setiap hari?

Minum air secukupnya sangat penting untuk sel-sel dan organ tubuh berfungsi dengan baik, terutama kanak-kanak yang sedang membesar. Perlu diingat untuk bayi usia bawah setahun , air susu ibu sudah melengkapi keperluan air untuk tubuh mereka. Kerana susu ibu ini amatlah ajaib Allah ciptakan, di waktu panas secara automatik susu ni akan jadi lebih cair dan banyak kandungan air agar dapat menghilangkan kehausan anak kecil yang menyusu. Tetapi jika anak sudah mula makan makanan pejal maka dia perlu diberi minum air masak. Bukan jus-jus, atau air milo ye, tetapi air kosong biasa. Macam dalam gambar bawah ni ;-)


air masak. sumber: google


Keperluan air untuk orang dewasa dan kanak-kanak tak sama. Orang dewasa disarankan minum antara 8 gelas atau 2 liter air setiap hari. Manakala kanak-kanak yang berusia antara 2 hingga 3 tahun pula disarankan minum sehingga 4 cawan atau 1 liter sehari. Tentunya sukatan ni akan meningkat seiring usia dan kadar aktiviti anak.

Pakar Pemakanan dari Institut Jantung Negara, Chong Mei Kee, berkata bahawa kanak-kanak bergerak lebih aktif menjadikan mereka sentiasa memerlukan banyak air. Jika tidak cukup mereka boleh lemah & mengalami dehidrasi. 

Tanda anak kurang minum air: 

1. Bibir & kulit menjadi kering
2. Kurang kencing
3. Kencing yang berbau kuat

Kesan buruk kanak-kanak kurang minum air:

1. Sembelit 
2. Rasa letih
3. Sakit kepala
4. Kurang air mata ketika menangis
5. Dehidrasi yang serius mungkin membawa maut

Pastikan anak kita mendapat air yang cukup untuk ganti peluh2 yang keluar semasa bermain. Boleh letak air masak dalam botol berdekatan dengan anak. Atau jika mereka tengah leka main, ibu-ibu bawakan secawan air kepada mereka.

Anak-anak ni bila dah leka bermain rasa dahaga pun tak sedar, jadi ibu bapalah yang kena alert ok.

Penting juga ibubapa biasakan anak-anak minum banyak air masak sejak kecil. Jadi sampai besar pun dia suka minum air masak. Pengalaman saya sendiri tengok ayah saya yang menjadikan air teh 'o' sebagai minuman utama dan tak suka minum air masak. Lepas kena kencing manis baru dia belajar minum air masak itu pun sikit je dia minum, tak ada rasa katanya 😅.