Pages

Monday 15 July 2013

Salam Ramadan, Bawa Anak Solat Terawih di Masjid ?

Salam Ramadhan al mubarak kepada semua umat islam. Inilah bulan pesta ibadah yang dinantikan dan dirindui oleh mereka yang beriman kepada Allah. Di bulan ini pahala diganda-gandakan maka rugilah orang yang tidak memanfaatkannya. Dikhabarkan bukan semua orang terpilih untuk menikmati bulan mulia ini. Banyak berita orang meninggal dunia sebelum tibanya Ramadhan. Berdoalah semoga kita dipanjangkan umur dan terpilih sebagai tetamu di bulan ini.

Masuk sahaja bulan Ramadhan, ibu-ibu pun tentu sibuk memikirkan masjid mana yang sesuai untuk dibawa anak kecil solat terawih. Tentu sekali di bulan ini ramai ibu bapa yang seronok membawa anak kecil berterawih di masjid. Ia seolah-olah satu pesta ibadah keluarga pula. Ada masjid dan surau yang mesra bayi, tetapi ada pula yang sebaliknya. Jadi ibu bapa perlu mencari masjid yang sesuai agar kehadiran anak-anak tidak menganggu jemaah lain yang ingin bersolat.

Saya sendiri sebagai ibu yang ada anak kecil berusia 10 bulan memilih untuk solat terawih di rumah sahaja memandangkan anak saya ini agak aktif dan suka memanjat. Jika saya ke masjid sudah tentu saya tidak khusyuk dan mungkin dia akan mengganggu jemaah lain juga. Tetapi anak sulung saya yang berusia 3 tahun pula akan mengikuti ayahnya berterawih di masjid.

Hari pertama dia berterawih bersama ayahnya, saya tertanya-tanya bagaimana keadannya. Mengingatkan tahun lepas dia agak aktif dan suka mengikut rakan-rakan yang baru dikenalinya pergi bermain sehingga kami terpaksa mencarinya. Ramadhan ini suami memilih surau di taman ini sahaja untuk terawih. Rupa-rupanya di surau taman kami ni, iaitu Surau Taman Ilmu, ada seorang pakcik yang garang memegang rotan di bahagian belakang. Dia akan berkawal di situ menjaga geng budak-budak solat. Jadi tak ada yang berani bermain dan semuanya bersolat jemaah dalam versi masing-masing. Tergelak saya mendengarnya.

Saya diberitahu di tempat lain ada juga masjid yang mesra bayi. Mereka menyediakan nurseri khas untuk anak secara percuma agar ibubapa dan jemaah lain dapat solat dengan selesa. Tetapi jika di kawasan yang tidak ada kemudahan seperti itu, ibu perlu membuat persediaan awal sebelum pergi agar anak tidak bosan dan mengganggu solat.

Antara yang boleh dibawa adalah mainan kesukaan anak (yang tidak bising dan selamat), makanan ringan atau biskut yang kurang bersepah, buku mewarna, buku membaca dan pastikan sebelum pergi pampers anak ditukar baru agar dia selesa. Ada juga ibu yang akan memberikan ipad atau tablet agar anak diam, tetapi pastikan volumenya perlahan agar tidak menganggu orang bersolat. Juga pastikan keadaan selamat kerana mungkin ada yang berniat jahat untuk mencuri. Walaupun syaitan sudah dirantai, tetapi tetap ada ramai manusia yang memilih untuk berbuat jahat.

Kemudian jika ada anak yang lebih besar, latih dia untuk menjaga adik-adiknya semasa ibunya solat. Selain itu ibu juga boleh bergilir-gilir solat terawih dengan bapa untuk menjaga anak. Kerjasama ibu dan bapa amat penting agar semua pihak akan selesa dan tidak terganggu.

Saya sendiri amat seronok melihat pelbagai keletah anak di masjid waktu terawih. Semoga amalan mengimarahkan masjid bersama keluarga ini tidak terhenti setakat bulan Ramadhan sahaja, tetapi diteruskan sepanjang masa.




Ajar Anak Membaca Sendiri atau Hantar Ke Kelas ?

Zaman sekarang ibu-ibu kebanyakannya bekerja dan mempunyai masa yang terhad di rumah. Pulang dari pejabat, terpaksa pula berkejar menyiapkan urusan rumahtangga seperti memasak, mengemas rumah, memandikan anak, membasuh pakaian dan sebagainya. Kesibukan ini menyebabkan ibu tidak berpeluang meluangkan masa dengan anak-anak. Ramai ibu yang menghadapi dilema ini.

Dalam masa yang sama, mereka juga inginkan yang terbaik untuk anak. Sudah tentu mahu anak dapat membaca awal dan mencapai kecemerlangan dalam hidup mereka. Jadi pilihan yang ada hanya menghantar anak-anak ke kelas membaca atau tuisyen dengan harapan mereka akan mendapat didikan yang terbaik.

Malangnya ada anak yang turut keletihan setelah seharian di rumah pengasuh atau tadika. Jadi semasa kelas ada yang tertidur dan tidak dapat fokus semasa belajar. Saya agak kasihan melihat anak seawal 4, 5 tahun terpaksa menghabiskan masa menghadiri kelas walaupun penat. Ini menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan semasa belajar.

Menurut kajian, kanak-kanak lebih mudah belajar jika mereka dalam keadaan gembira, dan selesa dengan pengajar tersebut. Pada pandangan saya, orang yang paling dekat dan selesa buat anak adalah ibu sendiri. Jadi saya amatlah berharap agar dalam kesibukan bekerja, ibu dapat luangkan masa mengajar anak di rumah. Proses pengajaran perlu dalam keadaan santai, dan meriangkan supaya anak tidak bosan. Tak perlu lama, hanya 5-10 minit sahaja. Yang penting perlu dibuat secara konsisten setiap hari.

Apatah lagi jika ibu adalah surirumah sepenuh masa. Walaupun sibuk menguruskan urusan rumahtangga yang tak sudah-sudah, ibu perlu khaskan satu masa untuk mengajar anak. Pastikan waktu itu anak dalam keadaan selesa seperti sudah mandi dan makan. Ibu juga mestilah dalam keadaan selesa dan gembira.

Saya suka bertanya kepada pelajar yang kelihatan agak cepat membaca, adakah mereka juga selalu membaca di rumah, serta adakah ibu mereka turut mengajar membaca. Jawapan mereka adalah ibu turut mengajar di rumah, serta ibubapa menyediakan mereka persekitaran yang menyeronokkan untuk membaca seperti membeli buku-buku bacaan menarik dan membuat perpustakaan mini untuk mereka.

Tetapi jawapan adalah sebaliknya bila saya bertanya pelajar yang sedikit lambat dan selalu terlupa jika cuti beberapa hari. Jadi saya meyimpulkan, amat perlu dorongan dan rangsangan dari ibu bapa sendiri agar anak minat dan suka membaca. Tidak salah menghantar anak ke kelas membaca kerana ia turut membantu mempercepatkan lagi skil membaca dan skil sosial mereka. Tetapi pastikan ibu bapa turut merangsang mereka dari rumah agar mereka lebih gembira dan seronok belajar membaca. Jadi hasilnya mereka akan cepat membaca tanpa perlu dipaksa.

Friday 12 July 2013

Perkembangan otak bayi semasa mengandung

Tahu tak, kita boleh rangsang anak untuk pandai membaca, mengaji dari dalam kandungan lagi !

Menurut kajian sains, penghasilan sel otak (neuron) bermula daripada persenyawaan sehingga kandungan berumur 10 minggu pada kadar yang begitu pesat. Sepanjang masa ini, otak fetus menghasilkan 250,000 neuron setiap minit berdasarkan fakta daripada Fetal Development: What Happens During The First Trimester (www.mayoclinic.com) .

Apabila kandungan berumur 20 minggu, lebih 200 billion neurons telah dihasilkan. Ini adalah peringkat pertama pertumbuhan otak. Oleh itu penting untuk kita mengamalkan pemakanan yang kaya dengan protin untuk membantu penghasilan sel otak dengan pesat.

Pada peringkat kedua pertumbuhan otak, (umur fetus 5 bulan ke atas), sel-sel otak ini mula berkomunikasi di antara satu sama lain, membentuk jaringan synapses, apabila menerima rangsangan semasa dalam kandungan. Lebih banyak jaringan maka lebih cerdiklah bayi itu. Oleh sebab itu, adalah penting kita merangsang bayi semasa dalam kandungan lagi untuk pertumbuhan sel otak sebagaimana menurut Dr Susan Ludington-Hoe, pengasas Infant Stimulation Programme.

Tambahan pula, bayi dalam kandungan mula mendengar dan merasa pergerakan bermula umur 5 bulan dan membuka mata pada umur 7 bulan. Bayi dalam kandungan juga lebih peka kepada rangsangan pada waktu malam di antara pukul 8 hingga 12 malam (waktu paling baik untuk merangsang bayi).


**Artikel ini dipetik dari buku Ajar Anak Kecil Membaca Awal tulisan Puan Nik Eliani Nik Nawi. Jika berminat mendapatkan buku tersebut boleh hubungi saya di puan.norainidollah@gmail.com. Terima kasih.